Jualan Cermin Kereta Dengan Ciri Keselamatan Meningkat

Diterbitkan: Isnin, 3 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ramai pemandu telah memasang cermin 'tinted' keselamatan pada tingkap kereta mereka untuk perlindungan tambahan selain untuk perlindungan cahaya berikutan kes rompakan "pecah dan ragut".

Pengeluar dan pengedar cermin ini melaporkan lonjakan dalam jualan untuk filem polister yang membantu menghalang tingkap daripada dipecahkan.

Menurut pengedar, kebanyakan pemandu yang mendapatkan cermin keselamatan ini ialah pemandu wanita.

Tinjauan The Star mendapati plastik filem gelap istimewa untuk cermin ini berharga sekitar RM600 dan RM1,000 bagi setiap kereta, bergantung kepada ketebalan.

Harga juga boleh mencecah sehingga RM3,500 jika pelanggan memilih lapisan yang mempunyai ciri ultra-ungu dan penapisan haba.

Pengurus Besar Tint Auto Mike Lim berkata syarikat itu melihat peningkatan sebanyak 10 peratus dalam jualan bulanan filem keselamatan memandangkan kes pecah dan ragut telah menjadi bualan ramai di internet.

Beliau menambah bahawa filem dengan ciri keselamatan tidak bermakna kacanya tidak akan pecah tetapi ia dapat melambatkan masa jika dipecahkan.

"Tingkap yang dipasang dengan filem gelap dan ada ciri keselamatan mengambil masa yang lama untuk dipecahkan kerana lapisannya menyerap hentakan dan melekat dengan kaca, memberikan pemandu masa yang cukup untuk bertindak balas.

"Walau bagaimanapun, tidak ada jaminan bahawa kaca tidak akan hancur. Ia hanya bertindak sebagai penghalang," katanya.

Pemilik perniagaan Suria Tint Steve Chin, 36, berkata cermin kaca yang pecah juga bergantung kepada jenis senjata yang digunakan oleh penjenayah.

Beliau menambah tukul akan mengambil masa kira-kira tiga atau empat pukulan untuk retak, manakala topi keledar akan mengambil masa yang lama.

Chin berkata filem keselamatan mempunyai ukuran ketebalan antara 4mil dan 12mil setiap satu, sambil menambah ketebalan di bawah ukuran tersebut tidak cukup kuat untuk menyokong kaca.

(Mil adalah unit ukuran untuk ketebalan filem tingkap. 1mil bersamaan 1,000 inci atau 25 mikron)

Pengarah Eksekutif Ecotint Chi Haur Lim menasihatkan pelanggan untuk memilih filem keselamatan dengan ukuran spesifikasi 4mil hingga 6mil memandangkan filem yang lebih tebal mungkin merosakkan kereta tertentu.

Beliau juga berkata peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan pada penghadang tingkap kereta menyatakan bahawa kadar lulus lapisan filem pada kereta adalah 50 peratus penghantaran cahaya yang boleh dilihat pada bahagian hadapan dan 70 peratus pada sisi dan belakang.

Statistik polis menunjukkan kes pecah dan ragut diklasifikasikan sebagai jenayah ragut menyumbang kepada sebahagian daripada 319 kes yang dicatatkan pada Mei dan Jun tahun ini.

Ketua Polis Petaling Jaya Asst Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kebanyakan mereka yang menjadi sasaran ialah mereka yang meletakkan barang-barang berharga seperti telefon bimbit dan beg tangan di kerusi sebelah penumpang semasa memandu.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan