Isu Gaji: Pekerja JNSB Rancang Mogok Kedua

Diterbitkan: Ahad, 2 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pekerja syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya, Kuala Selangor, bercadang mengadakan mogok kedua selepas pihak pengurusan universiti milik kerajaan negeri masih gagal melunaskan tunggakan gaji mereka sejak Julai lepas.

Ketua Residen Komuniti Siswa JNSB Noorashikeen Mohd Stap berkata sebelum ini, pihak universiti memberi jaminan akan membayar tunggakan itu dan meminta JNSB membuka kaunter pendaftaran pelajar bagi semester baru pada 23 Ogos lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga hari ini, kira-kira 55 pekerja JNSB belum menerima gaji yang sepatutnya dibayar kepada mereka.

"Selepas kita lancarkan mogok pertama pada 10 Ogos lepas, JNSB ada membuat pembayaran gaji iaitu bagi setengah bulan Julai. Kami buka kaunter pendaftaran pada 23 Ogos lalu berikutan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

"Namun, sehingga hari ini, kami kecewa apabila pihak pengurusan tidak menjelaskan baki gaji bulan Julai dan gaji bulan Ogos kepada JNSB," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Noorashikeen berkata berikutan sikap tidak bertanggungjawab pihak Unisel itu, ramai rakannya sudah mula mencari pekerjaan lain, dan ada yang terpaksa berhenti.

"Kami sudah memberikan kerjasama penuh, bila minta buka kaunter, kita sudah buka, tetapi mana gaji kami semua," katanya. Akhbar sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB. Hutang itu termasuk tunggakan bayaran melibatkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik kerajaan negeri Selangor tersebut.

Rentetan isu itu, kerajaan negeri Selangor mengumumkan penubuhan sebuah panel timbang tara yang diketuai Muhammad Khusrin bagi menyelesaikan masalah antara Unisel dan JNSB. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan