Tindakan Bawa 'Bendera Baru' Pada Ambang Merdeka Perbuatan Jijik - Berita Semasa | mStar

Tindakan Bawa 'Bendera Baru' Pada Ambang Merdeka Perbuatan Jijik

Diterbitkan: Sabtu, 1 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Biadab...Segelintir individu yang dilihat membawa 'bendera baru' pada sambutan ambang merdeka, malam Khamis lalu.
Biadab...Segelintir individu yang dilihat membawa 'bendera baru' pada sambutan ambang merdeka, malam Khamis lalu.

PETALING JAYA: Tokoh Belia ASEAN 2011, Mohammad Rizan Hassan menyifatkan tindakan segelintir individu yang membawa 'bendera baru' pada ambang sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka, malam Khamis sebagai terlalu jijik untuk diangkat sebagai warganegara Malaysia.

"Mereka yang bersungguh-sungguh mahu menukar Jalur Gemilang kepada bendera lain seakan-akan Indonesia dan Singapura bertindak melampau dan terlalu kurang ajar," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, demokrasi memerlukan rakyat bersikap matang dan menggunakan hak berfikir dalam melakukan sesuatu perkara.

"Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya mengetepikan semangat nasionalisme dan patriotisme," katanya.

Jelas beliau, menyemai rasa bangga terhadap bendera Malaysia merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan sesebuah negara.

"Bagi generasi lama, hari kebangsaan membawa memori kegigihan dan perjuangan menentang penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Ia juga melambangkan pengorbanan dan kebanggaan terhadap segala yang dikecapi sehingga hari ini," katanya.

Justeru, beliau menggesa tindakan segera diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan jijik itu.

Pada malam Khamis lalu, sekumpulan individu tidak bertanggungjawab mengedarkan risalah agar memilih bendera mirip kepunyaan republik Singapura dan Indonesia dengan warna merah dan putih namun mengekalkan lambang bulan dan bintang yang bewarna kuning seperti Jalur Gemilang.

Risalah berkenaan dipercayai diedarkan peserta 'Janji Demokrasi' anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu negara.

Pada bahagian bawah risalah itu turut dicetak logo kemerdekaan yang digunapakai pembangkang dengan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menafikan pembangkang mendalangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Tiada keputusan seumpama itu dibuat oleh Pakatan Rakyat. Mengapa harus putar belit?" katanya yang dipetik menerusi akaun Twitter.

Sebaliknya, beliau mendakwa perbuatan tersebut merupakan mainan politik Umno untuk memburukkan pembangkang.

"Ia bukan cadangan Pakatan Rakyat. Waspada dengan mainan Umno mengalih isu rasuah dan kezaliman," katanya.

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan