Polis Nafi Laporan Peniaga Terpaksa Berniaga Di Celah-Celah Jeriji

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis pada Khamis menafikan laporan kononnya kira-kira 40 peniaga alat ganti kenderaan di kawasan Perindustrian Taman City, Segambut berniaga menerusi 'celah-celah jeriji' berikutan ancaman penjenayah.

Sambil menyifatkan laporan itu tidak tepat, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata siasatan ke kawasan itu pada Khamis mendapati hanya sebuah kedai menjual alat ganti dan komponen kenderaan yang berniaga dalam keadaan pintu premis ditutup manakala majoriti peniaga beroperasi seperti biasa.

Katanya tindakan yang diambil pemilik kedai berkenaan adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian samun yang menimpanya dua bulan lepas, daripada berulang.

Ekoran penyiaran laporan itu di sebuah akhbar, Zakaria dalam sidang media di sini Khamis, berkata pihaknya terpaksa berhadapan dengan pertanyaan dan kerisauan masyarakat berhubung kebenaran laporan tersebut.

"Kami menerima banyak panggilan daripada masyarakat setempat berhubung laporan itu dan saya harap masyarakat di kawasan itu bertenang kerana penguatkuasaan dan rondaan sentiasa dijalankan polis di situ," katanya sambil menambah sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan di kawasan perindustrian itu.

Zakaria berkata tahap keselamatan kawasan itu masih terkawal dan sepanjang Jun lepas sehingga kini, hanya lima kes jenayah dilaporkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiga anggota 'Geng Ah-Chai' yang aktif melakukan pecah rumah sekitar Sentul ketika Ramadan lepas, ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Damansara Damai dekat sini, pada Selasa lepas.

Zakaria berkata ketiga-tiga suspek warga tempatan termasuk seorang wanita berumur antara 25 dan 39 tahun itu ditahan selepas tertangkapnya seorang daripada mereka semasa menggunakan kad kredit milik mangsa pecah rumah.

"Identiti suspek lelaki berusia 26 tahun itu dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika menggunakan kad tersebut untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak di kawasan Damansara Damai sebelum ditahan di hadapan kawasan perniagaan berhampiran rumahnya di Apartmen Damai," katanya.

Beliau berkata siasatan ke atas lelaki terbabit membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita dipercayai rakan jenayah suspek di rumahnya di Apartmen Damai.

Zakaria berkata pelbagai barangan milik suspek seperti komputer riba, kad kredit, pelbagai telefon bimbit, pasport, kamera, kunci kereta, perkakas memecah masuk rumah serta sebuah Perodua Kenari turut dirampas.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kedua-dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau seperti pecah rumah dan penagihan dadah.

"Suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) dan 457 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan