Pendengaran Anugerah Bagi Pengambilan Tanah Pengerang Bermula Minggu Depan - MB Johor

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Kerajaan negeri akan memulakan pendengaran anugerah bagi pengambilan tanah minggu depan untuk penduduk kampung yang terjejas oleh projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapis dan Petrokimia (RAPID) dan Terminal Petroleum Air Dalam Bebas Pengerang.

Kedua-dua projek bernilai berbilion ringgit itu terletak di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Menyatakan demikian, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata: "Pendengaran awam dari 3-14 Sept itu membolehkan penduduk kampung mengemukakan kes berhubung pampasan bagi tanah dan harta mereka yang diambil kerajaan.

"Pampasan yang ditawarkan akan berasaskan penilaian yang dikendali oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Harta berasaskan harga pasaran semasa" katanya.

Dalam satu kenyataan, Abdul Ghani berkata pampasan dalam bentuk wang tunai itu tidak akan diputuskan dengan sewenangnya oleh kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menawarkan skim khas memiliki rumah di kawasan penempatan baru kepada penduduk kampung yang rumah mereka terjejas.

Menteri Besar berkata bagi rumah yang wujud sekarang bernilai antara RM10,000 hingga RM40,000, penduduk akan memiliki rumah baru (kawasan binaan 750 kaki persegi) dengan tanah 6,000 kaki persegi pada harga pasaran dianggarkan RM120,000 dengan penduduk hanya membayar RM35,000.

Kerajaan negeri akan memberi subsidi minimum RM85,000, kata beliau.

Bagi rumah bernilai antara RM40,001 dan RM75,000, penduduk akan memiliki rumah baru (kawasan binaan 1,000 kaki persegi) dengan tanah seluas 6,000 kaki persegi pada nilai pasaran dianggarkan RM180,000 dengan penduduk hanya membayar RM65,000, dan kerajaan memberi subsidi RM115,000.

Abdul Ghani berkata bagi rumah bernilai antara RM75,001 hingga RM95,000, kerajaan negeri akan memberi subsidi RM130,000 bila penduduk memiliki rumah baru dengan keluasan binaan 1,300 kaki persegi dan tanah seluas 6,000 kaki persegi pada nilai pasaran dianggarkan RM215,000 dengan hanya membayar RM85,000.

Bagi rumah bernilai lebih daripada RM95,000, penduduk akan memiliki rumah baru (kawasan binaan 1,600 kaki persegi) dengan tanah seluas 6,000 kaki persegi pada nilai pasaran RM245,000 dengan hanya membayar RM105,000.

Di bawah kategori ini subsidi kerajaan ialah RM140,000.

Penduduk kampung boleh menggunakan wang bayaran pampasan untuk membayar harga memiliki rumah baru.

Selain itu, kerajaan negeri, kata beliau, akan menganugerahkan tanah pertanian seluas dua ekar dengan premium minimum yang akan dibayar oleh tuan punya tanah, selain pampasan tunai yang dibayar kerajaan kerana pengambilan tanah pertanian.

Abdul Ghani berkata keluarga yang tidak puashati dengan pampasan yang ditawarkan boleh mencari penyelesaian di mahkamah.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengambil lebih sedikit daripada 20,000 ekar tanah di Pengerang bagi pembangunan PIPC, dengan kira-kira 6,300 ekar daripada kawasan itu dimajukan Petronas untuk projek RAPID.

Beliau berkata pelabur masa depan dan industri-industri sokongan termasuk industri ringan akan memenuhi kawasan tanah selebihnya di PIPC.

"Pembangunan besar-besaran ini merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikan Pengerang sebagai hub minyak hiliran dan gas serantau, dan akan melibatkan penempatan semula 3,122 orang dari 927 keluarga yang sekarang tinggal di kawasan pembangunan yang dikenalpasti itu," kata beliau.

Langkah penempatan semula fasa satu akan bermula pada Mac 2013 melibatkan tiga kampung - Kampung Sungai Kapal, Kampung Teluk Empang and Kampung Langkah Baik.

Ini diikuti oleh empat lagi kampung - Kampung Sebong, Kampung Batu Mas, Kampung Jawa pada Oktober tahun yang sama.

Keluarga yang terlibat dari kampung-kampung ini akan dipindahkan ke kawasan penempatan baru, Taman Bayu Permai di Kampung Datuk Abdul Ghani Othman, meliputi kawasan 387 ekar.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan