Pembayaran Dividen Interim Kepada Semua Pemegang Saham FGV Yang Layak

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dividen interim yang diisytiharkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) baru-baru ini, akan dibayar kepada kesemua pemegang saham FGV yang layak dan bukan hanya kepada golongan peneroka yang memiliki saham FGV.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, FGV menjelaskan bahawa pembayaran dividen interim itu juga tertakluk kepada sistem 'single tier' yang diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri di mana ia dikecualikan daripada sebarang cukai apabila diterima oleh pemegang saham FGV yang layak.

Perdana Menteri pada Selasa mengisytiharkan pembayaran dividen interim sebanyak 5.5 sen sesaham yang akan dibayar dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh pengumuman dividen tersebut iaitu selewat-lewatnya pada 27 November.

Sejajar dengan prosedur yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia, FGV berkata kelayakan terhadap dividen interim itu akan ditentukan berdasarkan kepada senarai pemegang saham yang masih memiliki saham FGV pada penutup hari pasaran pada tarikh kelayakan.

Menurut FGV, tarikh kelayakan berkenaan akan hanya dapat diketahui selepas pengumuman susulan oleh syarikat terbabit yang akan dibuat menerusi Bursa Malaysia dalam jangka masa terdekat.

"Baucar dividen akan dihantar kepada alamat berdaftar pemegang saham FGV yang layak dalam tempoh tidak lebih daripada 30 hari selepas tarikh kelayakan tersebut atau selewat-lewatnya pada 27 November," tambah FGV.

Bagaimanapun, FGV menjelaskan, bagi pemegang saham yang mengambil pinjaman untuk membeli sahamnya, penerimaan dividen ini adalah tertakluk kepada terma pinjaman bagi pembiayaan pembelian saham tersebut di mana penerimaan dividen ini akan lazimnya ditolak terlebih dahulu dengan baki pinjaman yang masih tertunggak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan