NOW Bukan Alat Politik - Rafizi

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli berkata, Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional atau National Oversight and Whistleblowers (NOW) yang dilancarkan pada Khamis bukan dijadikan sebagai alat polik untuk menjatuhkan pemimpin Barisan Nasional (BN) atau mana-mana pihak.

Menurut Rafizi, NOW merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan pemberi maklumat datang ke hadapan pada ketika keyakinan awam terhadap agensi-agensi kerajaan sangat rendah.

"Ingin saya tegaskan di sini NOW bukan alat politik untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN) atau mana-mana pihak.

"Mereka (BN) tidak perlu risau kerana kami bukan sebuah badan pemantau dalam isu politik semata-mata. Kita akan turut memantau perjalanan sidang Parlimen juga pada masa yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan NOW di pejabat parti itu di sini, Khamis.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif NOW berkata, pusat itu amat serius dengan matlamat penubuhannya malah Pakatan Rakyat juga tidak terkecuali kerana mereka tidak mahu dilihat bersifat partisan.

"Saya yakin mereka di luar sana ada melabelkan NOW sebagai 'boneka' PKR kerana saya daripada parti itu.

"Saya tidak akan salahkan mereka, namun masyarakat perlu memberi peluang kepada NOW untuk membuktikan bahawa ia sebuah badan pemantau bebas yang tidak akan memilih mana-mana pihak dengan niat untuk menjatuhkan mereka. Itu bukan matlamat kita," katanya.

Sebaliknya beliau berkata, pusat itu akan menjadi ‘alternatif masyarakat’ yang kurang mempercayai peranan pihak berkuasa kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Rakyat Malaysia telah ditakutkan dari tampil ke hadapan tetapi pendedahan maklumat harus menjadi budaya di Malaysia, dan itulah yang kita harap untuk wujudkan dengan penubuhan NOW,” katanya.

Rafizi menjelaskan bahawa pusat itu menyediakan proses langkah demi langkah pendedahan maklumat, termasuk khidmat nasihat ditawarkan kepada pendedah maklumat mengenai risiko perundangan yang mungkin dihadapi akibat pendedahan mereka, jika mereka bersetuju untuk teruskan proses berkenaan.

“Pengadu mesti ada dokumen kerana saya tidak akan layan dakwaan tanpa dokumen saya tidak ada masa. Setiap pendedahan juga akan disiasat dengan teliti bagi memastikan aspek kredibiliti pemberi maklumat serta kesahihan dokumen-dokumen yang dikemukakan.

“Kita juga akan membuat kajian mengenai kes yang dikemukakan terlebih dahulu bagi memastikan terdapat bukti mencukupi sebelum apa-apa pemberitahuan umum dilakukan,” katanya.

Selain daripada pusat bagi pemberi maklumat dalam isu rasuah, Rafizi berkata mereka juga akan memberi tumpuan kepada kerja pemantauan sidang Parlimen termasuk memantau prestasi ahli parlimen, bagaimana wakil rakyat menghabiskan peruntukan mereka serta pelaksanaan undang-undang selepas diluluskan di Parlimen.

"Sekiranya seorang ahli Parlimen itu tidak turut serta dalam perbahasan dan tidak mengemukakan soalan dalam sesi soal jawab maka prestasi itu akan dinilai.

"Ini akan menunjukkan kepada rakyat sama ada wakil rakyat yang mereka pilih telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan atau tidak. Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa kita bukan sahaja menilai prestasi ahli BN malah ahli parlimen Pakatan Rakyat juga tidak terkecuali," katanya.

Beliau berkata, penilaian tersebut akan menjadi sistem penunjuk prestasi utama (KPI) sama ada ahli Parlimen berkenaan layak memegang kerusi yang mereka wakili atau tidak.

"NOW juga akan memerincikan dalam laporan tersebut bagaimana ahli parlimen menghabiskan peruntukan parlimen mereka di kawasan dan akan didedahkan kepada umum.

"Akhir sekali, apabila undang-undang diluluskan di Dewan Rakyat, kita akan melaporkan bagaimana ia dilaksanakan dan apakah kesannya," katanya.

Jelasnya, matlamat pelaksanaan NOW adalah sebagai aktivisme perundangan dan ia merupakan yang pertama di Asia Tenggara.

"Proses memberi pemahaman kepada orang ramai adalah penting kerana mereka tidak memahami proses perundangan dan tidak tahu bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan mereka.

"Tanpa pemantauan sebegini, tiada siapa akan sedar sama ada niat undang-undang sebenarnya dilaksanakan. Jadia apabila kita meletakkan maklumat tersebut dalam ruang awam dan jangan lupa, masyarakat lebih berjaga-jaga hari ini daripada sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, pusat itu juga akan mengkaji secara terperinci Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun kerana masyarakat agak kurang memberi perhatian kepada kandungannya.

"Tetapi apabila seseorang membawa sebagai agenda awam, maka kesedaran naik dan pihak berkepentingan tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menjadi bertanggungjawab kepada ia dan ini adalah fungsi NOW," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan