Kerajaan Masih Tunggu Keputusan Jumlah Kuota Jemaah Haji - Jamil Khir

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sehingga Khamis masih menunggu jumlah kuota jemaah Malaysia yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, kuota jemaah haji sepatutnya diketahui pada bulan Ramadan (sama seperti tahun-tahun sebelumnya), namun pada tahun ini ia mengalami kelewatan.

"Sehingga sekarang kita masih lagi menunggu (jumlah kuota jemaah)...disebabkan itu saya nak mengingatkan agar kita sentiasa perlu menjaga hubungan diplomatik dan hubungan antarabangsa terutamanya dengan kerajaan Arab Saudi.

"Sepatutnya pada bulan Ramadan yang lepas kita dah dapat...bahkan semasa saya bersama rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Makkah baru-baru ini kita masih menyampaikan hasrat tentang kuota tersebut sebab kita nak bersedia bagi penerbangan pertama ke Mekah yang dijadual pada 17 September nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen kesembilan Institut Profesional Baitulmal (IPB) di Dewan Perdana Felda, di sini, Khamis.

Lebih 300 orang penuntut IPB menerima diploma dalam bidang pengajian masing-masing.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas mengenai faktor kelewatan tersebut yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi Bersih 3.0 di Makkah dan Madinah pada 26 April lepas.

Katanya, perkara itu sukar dipastikan dan bagi menyelesaikan masalah tersebut Tabung Haji telah menggerakkan jenteranya secara intensif bagi mendapatkan maklumat mengenai kuota jemaah dengan kadar segera bagi memudahkan jemaah membuat persediaan.

Mengulas mengenai isu teks khutbah Aidilfitri di masjid dan surau di negeri Kelantan yang berunsur hasutan dan boleh memecah belah perpaduan rakyat, Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, kerajaan negeri Kelantan seharusnya bertanggungjawab dan mengambil tindakan berhubung isu tersebut.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada menerima aduan mengenai perkara tersebut... kita sentiasa mengingatkan bahawa khutbah, masjid, mimbar dan imam merupakan elemen teras penyatuan tapi sekiranya unsur-unsur khutbah itu membawa kepada perpecahan ia tidak akan menguntungkan masjid, jemaah serta kariah.

"Sebab itu peranan khutbah biarlah ia memberi keharmonian dalam pembinaan masyarakat dan dalam pembinaan ilmu, satu daripada ruang dan medannya ialah melalui khutbah..khutbah mampu membangunkan modal insan, namun sekiranya ia disertai dengan rasa marah dan tidak puas hati, tentunya tidak mendatangkan keuntungan dan memberi kesan kepada masyarakat," katanya.

Mengenai peranan IPB yang ditubuhkan pada 23 April 1992 oleh MAIWP dalam melahirkan modal insan, Jamil Khir berkata, ia bertujuan membantu anak-anak kepada asnaf meneruskan pengajian mereka, mampu bergelar graduan serta mempunyai kerjaya yang cemerlang bagi masa depan mereka.

Selain itu, ia IPB diwujudkan bagi melahirkan profesional muslim yang dinamik, serba boleh, mampu menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga, bangsa dan negara serta dapat meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam.

Katanya, MAIWP turut menyasarkan untuk menyatukan IPB dengan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan 'Pusrawi International College of Medical Science' (PICOM) di bawah satu bumbung dan mencapai taraf universiti sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga tahun dari sekarang.

Sehingga hari ini seramai 1,900 orang penuntut yang menuntut di IPB dan ini sekali gus membuktikan kesungguhan dan pendekatan MAIWP dalam membantu golongan tersebut mendapat pendidikan terbaik. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan