Kemerdekaan Negara Utuh Atas Teras Permuafakatan - PM

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemerdekaan yang dicapai negara sejak 55 tahun lepas akan terus utuh atas teras permuafakatan dan kerjasama daripada semua pihak.

Perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional, katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan yang ke-55 yang disiarkan di RTM di sini malam Khamis.

Najib berkata selama 55 tahun, "kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak, termasuk di kalangan warganegara sendiri, dan terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambah baik, adalah meleset sama sekali.

"Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam," kata Perdana Menteri.

Najib berkata daripada sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.

Perdana Menteri berkata Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa Kedua (GTP 2) bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi, dan akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas, sekali gus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat.

Bagaimanapun, katanya segala usaha dan prakarsa yang dilakukan itu akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.

"Kita kini berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti.

"Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya.

"Janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina," katanya.

Perdana Menteri berkata kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik, dan untuk itu di bawah Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP (Program Transformasi Ekonomi), tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.

Najib berkata sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.

"Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi," tambahnya.

Beliau berkata bagi memahami kebenaran daripada kenyataan itu, setiap rakyat di negara ini perlu kembali kepada susur galur sejarah di mana pada hakikatnya negara mencapai kemerdekaan di tengah-tengah "pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia."

"Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai," kata Najib.

Perdana Menteri berkata malah, dewasa ini, Malaysia telah berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan "berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020".

"Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras.

"Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik," kata Najib.

Beliau berkata semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh.

"Walau apa pun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka," kata Najib yang turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 kepada semua rakyat Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan