Kementerian Pantau Masalah Kesihatan Penduduk Di Bukit Koman Sejak 2009

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sentiasa memantau secara dekat keadaan kesihatan penduduk di Bukit Koman, Raub dan dakwaan bahawa masalah kesihatan yang timbul, berkait dengan operasi sebuah kilang memproses emas berdekatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemantauan kesihatan di kawasan itu sudah dimulakan sejak 2009 dan pasukan pegawai kesihatan akan terus dihantar secara kerap untuk membuat pemeriksaan.

"Penduduk tak perlu bimbang kerana Kementerian Kesihatan sentiasa bersama mereka untuk mencari punca masalah yang dihadapi.

"Kita akan buat kajian terperinci untuk mencari punca penyakit yang diwar-warkan itu," katanya kepada wartawan di sini Khamis bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kementerian Kesihatan mengambil remeh keadaan kesihatan penduduk di Kampung Bukit Koman yang kononnya terjejas akibat keracunan sainida di kilang emas berkenaan.

Liow menjelaskan bahawa satu pasukan kajian 'baseline health study' telahpun ditubuhkan Kementerian Kesihatan pada 12 Julai lepas untuk menyelidik secara terperinci masalah kesihatan yang dialami penduduk di Bukit Koman, Raub.

Pasukan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman itu juga telah mendapatkan penglibatan dari sebuah kumpulan anti-sainida iaitu Pahang Raub Anti-Cyanide Gold Mining Committee (BCAC) untuk menjalankan siasatan bersama, katanya.

"Kumpulan anti-sainida itu juga bersetuju untuk melantik pakar bagi menjalankan siasatan bersama. Mereka juga telah menjalankan kajian yang menunjukkan 78 peratus penduduk (383 orang) di Bukit Koman jatuh sakit akibat sainida yang digunakan di kilang emas itu," katanya kepada wartawan di sini, Khamis.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan dan BCAC mengadakan pertemuan susulan pada 13 Ogos lepas, tetapi sehingga hari ini, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklum balas berkaitan laporan mengenai penduduk yang dilaporkan sakit mahupun mengenai pelantikan pakar dari kumpulan itu.

"Saya harap jika mereka betul-betul ambil berat isu ini, jangan tangguh lagi dalam menghantar wakil.

"Kita mahu siasatan ini dijalankan bersama dan serta merta kerana kita mahu hasil kajian adalah bebas, telus dan bertanggungjawab," katanya.

Liow berkata walaupun pemantauan kesihatan di kawasan itu juga menunjukkan jumlah pesakit yang diterima adalah sama dengan kawasan-kawasan lain, pemeriksaan pada bulan lepas mendapati daripada 200 pesakit yang dirawat, 60 orang menghadapi masalah penyatkit kulit.

"Sebab itu kita nak buat kajian, apa punca penyakit kulit serta penyakit-penyakit lain yang dialami oleh penduduk di kawasan itu.

"Sama ada ia betul-betul berpunca dari kilang itu, atau sumber lain seperti daripada pembakaran terbuka ataupun air. Itu kita belum dapat pastikan lagi," katanya.

BCAC juga sebelum ini mendakwa penggunaan sainida, iaitu sejenis bahan kimia yang digunakan untuk melebur emas dalam kilang pemprosesan emas Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd telah menyebabkan keracunan sainida ke atas kesihatan penduduk setempat termasuk masalah kulit dan pernafasan.

Selain itu, kumpulan Himpunan Hijau yang sebelum ini lantang membantah operasi kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng juga dilaporkan akan mengadakan perhimpunan Ahad ini di Bukit Koman untuk membantah operasi kilang emas itu.

Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack juga dilaporkan menggesa Liow supaya segera menyelesaikan masalah kesihatan itu ataupun meletak jawatan.

Justeru, Liow juga mempersoal motif sebenar pihak-pihak berkenaan yang dilihatnya tidak pernah wujud sebelum ini, tetapi tiba-tiba muncul untuk memperjuang hak penduduk di situ.

Beliau menyifatkan mereka sengaja mahu mengambil kesempatan mempolitik dan memutar-belitkan isu Bukit Koman semata-mata untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 dan menidakkan usaha yang dilakukan Kementerian Kesihatan untuk rakyat. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan