Kajian Kemungkinan Bagi Laluan 2 & 3 MRT Dijangka Siap Tahun Depan

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kajian kemungkinan bagi laluan 2 dan 3 projek MRT Lembah Klang dijangka siap tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata laluan-laluan itu dijadualkan siap pada 2020 dan akan menyediakan rangkaian hubungan dalam kawasan Kuala Lumpur.

"Menjelang 2020, bahagian pengangkutan awam oleh MRT akan ditingkatkan kepada 50 peratus dan bentuk pengangkutan lain seperti bas dan teksi dan yang lain-lain sebanyak 50 peratus," katanya pada taklimat media mengenai Pameran dan Persidangan Rel Asia 2013 yang akan dihoskan dan dianjurkan bersama tahun depan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

MRT Corp mengumumkan pada awal bulan ini bahawa projek prasarana terbesar negara Laluan Transit Aliran Massa Sungai Buloh-Kajang berjalan mengikut jadual dan projek itu telah beralih daripada kerja-kerja persediaan kepada fasa pembinaan aktif.

Tarikh akhir bagi operasi fasa satu Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang yang bermula dari Sungai Buloh ke Semantan ialah pada Disember 2016.

Fasa kedua dari Semantan ke Kajang akan beroperasi pada Julai 2017.

Sementara itu, Pengarah (Pemegang Kepentingan/Tanah) MRT Corp Haris Fadzilah Hassan berkata setakat ini pakej bernilai kira-kira RM16 bilion telah diberikan bagi projek transit aliran massa itu.

"Jumlah kos keseluruhan projek akan ditentukan pada akhir tahun," katanya.

Mengenai pembiayaan, Haris berkata Danainfra Nasional Bhd, di bawah Kementerian Kewangan akan mengumpulkan dana bagi projek MRT.

"Kami komited kepada standard ketat, kami perlu memastikan standard global dipenuhi dalam projek MRT," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan