Tiada Manipulasi Pada Statistik NKRA Jenayah - KPN

Diterbitkan: Rabu, 29 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah membenarkan sebarang manipulasi dilakukan terhadap indeks atau statistik berkaitan jenayah dalam laporan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Sambil menganggap dakwaan itu adalah mainan pihak tidak bertanggungjawab, beliau berkata adalah menjadi "satu dosa besar" kepadanya sekiranya memanipulasi atau membenarkan manipulasi berlaku bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa kadar jenayah berada dalam kawalan.

"Ini semua pada saya adalah mainan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Ini hanya tuduhan pada PDRM, takkanlah setelah sekian lama menjaga keamanan negara, kita memanipulasi data semata-mata untuk mencapai KPI.

"Saya melakukan dosa besar jika saya dilihat memanipulasi perangkaan, semata-mata apabila kerajaan bagi kita satu sasaran, kita pun cuba manipulasi untuk capai matlamat," katanya mengulas dakwaan bahawa kadar jenayah yang dikeluarkan dalam NKRA dimanipulasi.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah pemandu berhemah kepada pemandu bas, kereta dan penunggang motosikal sempena Ops Selamat di Bukit Aman di sini hari ini, Ismail berkata pihak yang membuat dakwaan seharusnya mengemukakan bukti bagi membolehkannya mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab.

"Saya tidak akan benarkan anggota saya berbuat demikian tidak kira ia ketua pengarah, ketua polis daerah atau pegawai penyiasat...saya tidak akan benarkan dan jika berlaku saya akan ambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Beliau juga menegaskan sedia untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak berkenaan bagi sama-sama berkongsi idea dalam menangani isu itu daripada hanya berdebat secara berterusan di dalam media. Katanya beliau sedar masih terdapat masyarakat yang bimbang tentang kejadian jenayah dan mengakui jenayah ada berlaku tetapi pihaknya tidak hanya berdiam diri sebaliknya melakukan pelbagai inisiatif dalam memerangi perkara yang menduduki senarai teratas dalam lapan NKRA yang ditetapkan kerajaan.

"Selain menempatkan anggota di pusat beli-belah, kita juga sedang merancang untuk melantik bekas-bekas anggota polis mengetuai pasukan kawalan keselamatan sukarela di kawasan kediaman masing-masing," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan