Pemuda Gerakan Kedah Cadang Wujud Jawatan Timbalan Menteri Besar - Berita Semasa | mStar

Pemuda Gerakan Kedah Cadang Wujud Jawatan Timbalan Menteri Besar

Diterbitkan: Rabu, 29 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pemuda Gerakan Kedah pada Rabu menyarankan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS meminda perlembagaan negeri bagi mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar.

Ketuanya Tan Keng Liang berkata keadaan itu dilihat perlu bagi membantu tugas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kerap mengambil cuti sekarang kerana masalah kesihatan.

"Pulau Pinang dan Kelantan yang dikuasai pakatan pembangkang boleh melantik timbalan ketua menteri dan menteri besar, mengapa Kedah tidak boleh melakukannya," katanya pada sidang media, di sini.

Tan berkata akibat masalah kesihatan, Azizan tidak dapat mengadakan mesyuarat exco kerajaan negeri selama tiga minggu berturut-turut sejak Ramadan lepas.

Tiada mesyuarat exco bermakna banyak perkara penting membabitkan rakyat yang memerlukan persetujuan menteri besar tertangguh, katanya.

"Keadaan ini menyebabkan rakyat terbeban dan kesusahan. Malah kestabilan politik juga boleh terjejas. Sekiranya jawatan timbalan menteri besar diwujudkan perkara ini dapat dielakkan," katanya.

Bernama difahamkan mesyuarat exco yang dijadual hari ini juga tidak diadakan kerana Azizan belum masuk bertugas kerana tidak sihat.

Menteri Besar itu juga tidak menghadiri jamuan Hari Raya Menteri Besar yang diadakan di sini pada Sabtu lepas. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan