PPj Tumpu Usaha Atasi Masalah Kesesakan Trafik Di 10 Lokasi Utama

Diterbitkan: Isnin, 27 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang berusaha mengatasi masalah lalu lintas di 10 lokasi utama di sekitar sini yang telah dikenal pasti sering mengalami kesesakan terutama pada waktu puncak.

Presidennya Tan Sri Aseh Che Mat berkata kesesakan itu berpunca daripada peningkatan bilangan kenderaan yang memasuki kawasan pusat pentadbiran negara pada waktu puncak, yang mencecah 28,881 kenderaan dalam tempoh masa sekitar sejam.

Beliau berkata lebih 80,000 penjawat awam bertugas di Putrajaya tinggal di luar kawasan pusat pentadbiran negara itu dengan kebanyakannya menggunakan kenderaan sendiri, manakala penduduk Putrajaya sendiri yang berjumlah kira-kira 78,000 orang, turut menggunakan kenderaan sendiri sebagai pengangkutan utama.

"Penduduk di Putrajaya dianggarkan 78,000 orang, lebih 80,000 orang lagi pula datang bekerja di Putrajaya setiap hari. Di waktu kerja ini, dianggarkan kira-kira 158,000 orang berada di Putrajaya. Saya tengok kebanyakannya tiap satu kereta cuma satu orang," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa lokasi utama yang mengalami kesesakan lalu lintas di sini, Isnin.

Katanya pelbagai tindakan jangka pendek dan jangka panjang akan dilakukan bagi menangani masalah tersebut.

Bagaimanapun katanya PPj tidak merancang untuk menempatkan pegawai penguatkuasa dan anggota trafik polis di lokasi-lokasi tersebut buat masa ini, sebaliknya merancang untuk menaik taraf sistem kawalan trafik berkomputer di bawah unit pengurusan trafik yang berpusat di Presint 2.

Katanya ketika ini terdapat kira-kira 176 kamera litar tertutup (CCTV) yang digunakan untuk mengawal kawalan trafik dan lalu lintas selain mencegah jenayah di sekitar Putrajaya.

"Pada mulanya PPj merancang untuk meletakkan pegawai bertugas untuk menjaga lalu-lintas di kawasan itu, namun apabila difikirkan kembali ia hanya mencacatkan pemandangan Putrajaya.

"PPj mengambil keputusan untuk menaik taraf sistem kawalan trafik berkomputer yang sebelum ini telahpun digunakan di sini, ia akan dikawal oleh pegawai bertugas di ibu pejabat PPj," katanya.

Sementara itu, Aseh berkata PPj sedang merancang untuk menjenamakan semula perkhidmatan bas Nadi Putra dalam usaha untuk meringankan beban masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi.

"Saya akan minta pandangan semua pihak termasuk pemandu bas sendiri untuk memberi cadangan mengenai usaha penjenamaan yang perlu dilakukan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan