Dompok Sokong Kaji Semula Undang-Undang Antilompat Parti Secara Bersyarat

Diterbitkan: Isnin, 27 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata beliau bersetuju undang-undang antilompat parti dikaji semula, "dengan syarat mereka yang menukar parti, tidak dihalang daripada menjadi calon pada pilihan raya kecil".

Kata beliau peruntukan sedia ada yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang Anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri yang meletak jawatan, hilang kelayakan untuk bertanding sebagai anggota Dewan Rakyat (atau dewan undangan negeri) bagi tempoh lima tahun, mulai tarikh beliau meletak jawatan.

"Adalah sesuatu yang amat malang sekiranya seseorang wakil rakyat yang meletak jawatan atau dipaksa meletak jawatan kerana sebab tertentu dan selepas itu, menyertai parti lain, tidak dibenar menawarkan diri untuk menjadi calon pada pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu.

"Ya, kita boleh wujudkan undang-undang antilompat, tapi berilah kebenaran kepada mereka yang melompat itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)Getah bagi daerah Penampang di Kampung Timpangoh, Sugud, dekat sini Isnin.

Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Utama dan Komoditi, berkata demikian apabila diminta mengulas cadangan DAP Pulau Pinang baru-baru ini untuk menggubal undang-undang antilompat parti.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng baru-baru ini dipetik sebagai berkata negeri itu bercadang menggubal undang-undang antilompat parti November ini, menjelang berlangsungnya pilihan raya umum ke-13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada April tahun depan.

Pada Ahad, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dilaporkan berkata cadangan menyemak semula undang-undang antilompat parti mempunyai merit kerana ia boleh menghalang seseorang ahli politik daripada menukar parti selepas dipilih sebagai Anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri.

Kerajaan PBS di Sabah pernah menggubal undang-undang seperti itu pada 1980-an, tetapi diisytihar bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia menghalang kebebasan seseorang untuk berpersatuan.

Pada asasnya, undang-undang antilompat parti bertujuan menghalang wakil rakyat, yang menang pada pilihan raya atas tiket sesuatu parti politik, melompat ke parti lain.

Mengenai dakwaan pakatan pembangkang bahawa kedudukan mereka semakin kuat di Sabah, Dompok berkata nasib Barisan Nasional (BN) hanya boleh ditentukan oleh rakyat Sabah melalui peti undi.

"Sesiapa saja boleh membuat dakwaan seperti itu, tapi akhirnya, rakyatlah yang membuat keputusan muktamad melalui peti undi. Seperti parti lain, kami juga menghadapi cabaran untuk mempertahankan pemerintahan BN pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Mengenai Upko pula, beliau berkata parti itu tetap wujud dan kukuh, walaupun ditinggalkan beberapa pemimpinnya, termasuk bekas timbalan presiden Datuk Seri Wilfred Bumburing dan naib presiden Senator Datuk Maijol Mahap, yang kini menyokong pakatan pembangkang.

Anggota Parlimen Penampang ini juga menyangkal dakwaan bahawa ramai anggota parti itu menyertai pembangkang.

Ditanya sama ada mesyuarat agung Upko pada 24 Ogos membincangkan kedudukan parti itu dalam BN, Dompok berkata perkara itu tidak termasuk dalam agenda mesyuarat.

Beliau berkata senarai calon yang akan bertanding bagi kerusi yang diperuntukkan kepada Upko, termasuk kerusi Parlimen Tuaran, telah diserahkan kepada kepimpinan BN untuk tindakan selanjutnya.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan