Air Percuma: Selangor Sangkal Pandangan Ahli Akademik

Diterbitkan: Isnin, 27 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor menyangkal kenyataan seorang ahli akademik yang mendakwa dasar pemberian air percuma di negeri itu sebagai langkah tidak bijak dan bukan bersifat lestari.

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata kenyataan tersebut dibuat tanpa bersandarkan fakta kukuh mengenai keberkesanan pelaksanaan dasar itu.

"Lebih baik beliau semak fakta daripada kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum buka mulut.

"Apa bukti yang beliau ada untuk sokong kenyataannya bahawa dasar air percuma menyebabkan hasil kerajaan negeri merosot," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penolong Naib Canselor bagi Pembangunan, Pengurusan Kemudahan dan ICT Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Suhaimi Abdul Talib bahawa dasar air percuma sejak empat tahun lalu gagal memberikan faedah jangka panjang kepada rakyat.

Katanya, walaupun pemberian air percuma dilihat baik dari segi faedah jangka pendek, namun ia tidak mendidik rakyat untuk menghargai air.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Dr Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas berkata, berdasarkan sistem pengurusan yang terancang, kerajaan negeri berjaya mengumpul rizab tunai mencecah RM2 bilion sejak empat tahun yang lalu.

"Kalau kita gagal dalam sistem pemberian air percuma, bagaimana kita dapat jimatkan wang hampir RM2 bilion?" katanya.

"Kalau beliau ada fakta, saya cabar berdebat tentang isu air percuma," katanya sambil menambah bahawa kerajaan Selangor akan meneruskan dasar berkenaan yang disifatkan mampu memberi faedah kepada rakyat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan