Saya Tidak Jejaskan MIC - Devamany

Diterbitkan: Ahad, 26 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Naib Presiden MIC Datuk S.K.Devamany menegaskan beliau tidak pernah melakukan perkara yang menjejas imej dan kredibiliti serta kepimpinan parti itu seperti yang didakwa setengah pihak.

Beliau berkata umum tahu bahawa pemilihan senarai calon untuk mewakili MIC pada pilihan raya umum ke-13 dan kerusi yang diperuntukkan adalah prerogatif Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, serta Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel.

Menyedari hakikat itu, kata Devamany, beliau tidak pernah bertindak di luar batasan bidang kuasanya.

"Fokus kita (MIC) perlu bagi menentukan kemenangan BN, merampas balik kerusi yang hilang pada pilihan raya lalu.

"Bagi mencapai matlamat itu perpaduan dalam parti harus diberi keutamaan. Jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian kepada Bernama berhubung laporan akhbar berbahasa Tamil yang mempersoalkan pendirian dan kesetiaan beliau terhadap parti dan presiden.

Akhbar Tamil melaporkan kononnya anggota MCA Cameron Highlands sedang giat melakukan kempen tandatangan bagi membolehkan Devamany terus diberi peluang bertanding sebagai ahli Parlimen di tanah tinggi itu.

Menurut laporan akhbar itu lagi, usaha itu dilakukan sebagai bantahan tidak memberi laluan kepada Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk bertanding di kerusi itu yang dilabelkan "Kerusi Selamat bagi BN".

Persoalan di mana Palanivel akan bertanding pada PRU ke-13 terus menjadi topik utama akhbar harian Tamil di negara ini sejak beliau menerajui MIC daripada Datuk Seri S. Samy Vellu pada Disember 2010.

Pada PRU ke-12, Palanivel tewas kepada calon PKR Datuk Zainal Abidin Ahmad di Hulu Selangor dengan hanya 198 undi setelah menjadi wakil rakyat di situ sejak 1990.

Justeru Palanivel dijangka memilih kerusi selamat Cameron Highlands yang mempunyai 27,408 pengundi berdaftar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan