Gerakan Akan Pinda Dua Perkara Dalam Perlembagaannya

Diterbitkan: Ahad, 26 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gerakan bercadang meminda dua fasal dalam perlembagaan parti itu pada persidangan perwakilan kebangsaan parti itu Sept depan, kata Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata kedua-dua pindaan itu amat perlu dan akan dibentangkan untuk dibincangkan serta diluluskan pada persidangan dua hari itu yang akan bermula pada 29 September depan.

Katanya pindaan perlembagaan pertama yang dicadangkan itu selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 (AUKU) bagi membolehkan mahasiswa-mahasiswa universiti menjadi ahli parti Gerakan.

"Oleh itu, kita akan memansuhkan perlembagaan parti Fasal 96.2, yang dulunya tidak membenarkan mahasiswa universiti untuk menjadi ahli kecuali dengan kebenaran khas dari naib canselor.

"Kini, setelah AUKU dipinda oleh kerajaan maka parti Gerakan berpendapat bahawa peruntukan undang-undang ini tidak diperlukan lagi dan perlu dimansuhkan," katanya kepada pemberita di Menara PGRM di sini, Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda bagi membolehkan penuntut-penuntut pusat pengajian tinggi berusia 21 tahun ke atas bergiat aktif dalam parti-parti politik.

Selain parti politik, setiap pelajar juga diberi kebenaran menyertai persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang sama ada di dalam atau di luar negara.

Mengenai pindaan kedua, Koh berkata Gerakan bercadang untuk meminda perlembagaan parti supaya lanjutan tempoh pemilihan dalam parti dilanjutkan kepada lapan bulan lagi.

Sebelum ini, perlembagaan parti membenarkan pemilihan parti ditangguhkan selama 15 bulan memandangkan pilihan raya umum ke-13 belum ditetapkan dan berkemungkinan akan berlaku penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Mengikut amalan dan perlembagaan, pemilihan parti yang lalu ialah pada 2008 dan sepatutnya mengadakan pemilihan parti 15 bulan selepas penghujung tahun 2011 iaitu pada 31 Dis. Pemilihan parti telah dilanjutkan selama 15 bulan itu sehingga 31 Mac tahun depan.

"Sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa dua bulan akan datang, parti Gerakan masih memerlukan kira-kira lapan bulan untuk membuat persediaan bagi mengadakan pemilihan dalam parti. Lagipun, kita tidak mahu kedua-dua (pilihan raya umum dan pemilihan parti) itu bertindih dan menjadikan keadaan rumit di semua peringkat," kata Koh.

Sehubungan itu, Koh berkata pindaan lanjutan lapan bulan ini akan memberi fleksibiliti untuk jawatankuasa pusat dan perwakilan untuk menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum.

Dalam perkembangan lain, Koh berkata 193 cawangan baru ditubuhkan sejak 2008 dengan lebih daripada 25,000 anggota baru.

"Ini mencerminkan bahawa masih ada minat dalam parti Gerakan, dan parti ini masih aktif di peringkat akar umbi," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan