BN Tunai Sebahagian Besar Janji Dalam Manifesto Pilihan Raya Sejak 1959

Diterbitkan: Ahad, 26 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Satu kajian menunjukkan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji-janjinya apabila dapat melaksanakan sebahagian besar daripada perkara-perkara yang terkandung dalam manifesto pilihan rayanya sejak 1959, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata mengikut kajian yang dijalankannya, parti pembangkang hanya mampu melaksanakan 15 peratus daripada manifesto pilihan rayanya sejak 2008.

Parti pembangkang gagal melaksanakan 85 peratus daripada manifesto pilihan rayanya sejak 2008 dan ini menunjukkan mereka hanya pandai berjanji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pulai di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, yang turut dihadiri oleh Ketua Umno Bahagiannya Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut Dr Ahmad Zahid, kajian beliau itu membuktikan kerajaan BN menepati janji-janjinya dengan melaksanakan perkara-perkara yang terkandung di dalam manifesto pilihan rayanya.

"Ia selari dengan slogan kita (BN) iaitu "Janji Ditepati. Kita berharap agar rakyat tidak digula-gulakan dengan janji manis pembangkang, mereka hanya tahu berjanji," katanya.

Sementara itu, beliau turut mendesak Pas supaya keluar daripada pakatan pembangkang yang turut disertai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang disifatkan beliau sebagai tidak lebih seperti "perkahwinan mutaah."

Katanya, perjuangan Pas untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud juga dikecam oleh rakan dalam pakatan parti pembangkang itu sendiri terutamanya DAP.

Ahmad Zahid berkata, perkembangan yang berlaku di Pulau Pinang di mana DAP mahu membolot sebahagian besar daripada kerusi yang bakal ditandingi pakatan pembangkang itu juga merupakan bukti jelas bahawa parti itu kini "gila kuasa." - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan