MCA Sedia Lepas Kerusi Kepada Komponen Yang Yakin Menang - Dr Chua

Diterbitkan: Sabtu, 25 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: MCA bersedia melepaskan kerusi tradisi yang ditandinginya kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain jika parti itu yakin menang selain mendapat restu Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata MCA juga tidak akan menuntut mana-mana kerusi yang parti itu tidak berpeluang menang.

"Saya mengatakan secara terbuka bahawa MCA tidak menuntut kerusi yang kita tidak berpeluang menang atau yakin menang. Kita bukan parti komponen yang syok sendiri," katanya pemberita selepas bertemu penjaja Pasar Awam Gunung Rapat, di sini Sabtu.

Beliau diminta mengulas laporan media yang menyebut Gerakan Bahagian Gopeng mempunyai calon boleh menang bagi kerusi Parlimen Gopeng dan Dewan Undangan Negeri Malim Nawar, iaitu dua kerusi yang ditandingi MCA sebelum ini.

Kenyataan Ketua Gerakan Bahagian Gopeng itu susulan laporan akhbar bahawa pada pilihan raya umum ke-13 nanti MCA berhasrat bertanding di kerusi Parlimen Puchong yang ditandingi Gerakan pada dua pilihan raya umum lepas.

Mengulas lanjut, Dr Chua berkata:"...kalau Gerakan ingat dia boleh menang ambillah, kalau PM (Perdana Menteri) setuju kitapun setuju, no problem."

Katanya kedua-dua parti berkenaan juga tidak perlu bertukar kerusi jika Gerakan benar-benar yakin boleh memenangi kawasan yang dituntut mereka.

Pada masa yang sama Dr Chua menegaskan ada beberapa kriteria yang harus dipenuhi sesebuah parti sebelum meluahkan keyakinan boleh menang di satu-satu kawasan.

Mereka perlu bertanya adakah bahagian itu aktif, berapa jumlah anggota mereka serta sejauh mana tahap persediaan jentera pilihan rayanya, kata Dr Chua.

"Keempat, adakah mereka bersatu padu, komited, bekerja keras serta bertungkus-lumus untuk pastikan calon BN menang dan akhir sekali pengundi lebih yakin dengan parti mana, MCA, Gerakan, Umno atau MIC.

Sebab itu kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan," katanya.

Beliau berkata berkata MCA yakin Najib selaku Perdana Menteri mempunyai sumber yang dapat menyediakan maklumat tepat dan benar untuk membuat keputusan yang bijak.

Katanya sesebuah parti komponen juga tidak wajar menuntut kerusi pilihan raya jika tidak mahu bekerja keras dan hanya mahu rakan lain yang bertungkus-lumus untuk mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan