Cadangan Undang-Undang Cegah Lompat Parti Hanya Sandiwara Politik DAP

Diterbitkan: Jumaat, 24 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada Khamis menyelar DAP yang bercadang meminda perlembagaan negeri Pulau Pinang bagi menyekat perbuatan melompat parti, dengan berkata cadangan itu hanya sandiwara politik DAP.

Beliau yang mempersoalkan keikhlasan DAP tentang perkara itu, berkata DAP amat menyedari cadangan berkenaan tidak akan mendapat kelulusan dewan undangan negeri dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak menyekat kebebasan politik mana-mana individu.

Kata beliau sekiranya DAP benar-benar komited untuk mencegah perbuatan melompat parti, mereka boleh berbuat demikian dengan meminda perlembagaan parti.

"Meminda perlembagaan parti adalah jalan paling mudah. Pindaan boleh dibuat dengan mudah dan katakan saja parti itu tidak akan menerima mana-mana 'katak politik' dan jika mereka (pelompat parti) melompat, mereka tidak akan ditawarkan sebarang kerusi.

"Senang saja dan habis cerita! Kenapa perlu pergi ke dewan undangan negeri? Akhirnya, anda buat gamat, menarik perhatian, tapi tidaklah semulia seperti yang cuba digambarkan DAP," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan ganjaran kewangan oleh The Star Publications (M) Berhad kepada atlet Olimpik kebangsaan Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong Pamg, di sini.

Lee yang menang pingat perak bagi acara badminton dan Pandelela yang meraih gangsa menerusi acara terjun pada sukan Olimpik London baru-baru ini, diberi ganjaran RM100,000 seorang.

Dr Chua berkata demikian bagi mengulas cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membentangkan undang-undang menghalang perbuatan melompat parti di dewan undangan negeri.

Sambil menyebut beberapa perbuatan melompat parti sejak 2008, termasuk dakwaan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangkang akan membentuk Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008 kerana ramai anggota parlimen Barisan Nasional (BN) akan berpaling tadah, Dr Chua berkata selama ini DAP memang menyokong perbuatan melompat parti.

Katanya DAP menerima dua bekas pemimpin Umno ke pangkuannya awal tahun ini, malah menjanjikan kerusi untuk ditandingi mereka pada pilihan raya umum akan datang.

"Dalam kes terbaru, dua bekas pemimpin BN Sabah juga menyertai pembangkang, tetapi DAP hanya membisu," katanya merujuk kepada Anggota Parlimen Beaufort yang juga Pengerusi BN Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), yang meninggalkan BN bulan lepas untuk menyokong pembangkang.

"Sekiranya DAP ikhlas menentang perbuatan melompat parti, mereka tidak sepatutnya menerima orang yang melompat parti sejak mula lagi," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Dr Chua menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersatu dan memberi sokongan kepada atlet negara dalam usaha mereka meraih kejayaan lebih cemerlang untuk Malaysia.

"Jika ahli politik tidak dapat menyatukan semua rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya anda berdua telah membantu menyatupadukan semua rakyat Malaysia.

"Janganlah kita biarkan politik memecah belahkan kita," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan