Akta Keterangan Perlu Tafsiran Lebih Jelas Untuk Elak Kekeliruan

Diterbitkan: Khamis, 23 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kekecohan yang ditimbulkan pengguna Internet baru-baru ini berhubung Seksyen 114A Akta Keterangan, mencetuskan gelombang yang agak besar, terutama berkaitan tanggapan bahawa seseorang yang namanya tertera pada sesuatu penerbitan adalah pemilik atau pengendali yang menyiarkan kandungan berkenaan.

Peruntukan yang termaktub di bawah Akta Keterangan (Pindaan) (No. 2) 2012 mengundang banyak perbahasan, termasuk dalam kalangan penggubal dasar daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

Seksyen 114A, yang diluluskan Parlimen April lepas dan diwartakan pada 31 Julai, menganggap bahawa seseorang yang namanya, fotonya atau nama samarannya tertera pada sesuatu penerbitan, menunjukkan bahawa dia adalah pemilik, hos, pengendali, editor atau penyunting, atau, seseorang, yang dalam apa jua cara menyebabkan penyiaran atau penyiaran semula sesuatu penerbitan, dianggap menerbitkan atau menerbitkan semula penerbitan berkenaan, melainkan dia dapat membuktikan sebaliknya.

Pindaan itu juga merujuk kepada sesiapa sahaja, yang mempunyai kuasa atau kawalan terhadap komputer yang menjadi sumber asal tersiarnya sesuatu penerbitan itu, dianggap orang yang menerbitkan atau menerbitkan semula kandungan berkenaan, melainkan dia dapat membuktikan sebaliknya.

Antara pendapat negatif yang dilontarkan para pembahas ialah kerajaan cuba menyekat kebebasan Internet hingga sanggup menuduh bahawa undang-undang yang diperkenalkan itu boleh 'mengembalikan negara ini ke Zaman Pertengahan'.

Bagi yang menyokong pindaan itu pula, mereka berpendapat beban pembuktian kini beralih ke bahu pengguna Internet dan ini sudah pasti membantu pihak yang menguatkuasakan undang-undang dalam mengesan penyiaran kandungan yang menyalahi undang-undang.

Seorang pengamal ICT terkenal Azli Paat berkata undang-undang yang diperkenalkan itu adil kerana keadaan sebelum ini tidak dapat mencegah seseorang daripada menyamar sebagai orang lain di ruang siber.

Ketiadaan peruntukan yang diperkenalkan itu juga menyukarkan pihak penguatkuasa menahan dan mendakwa orang sebenar yang melanggar undang-undang kerana tiada siapa yang akan mengaku melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab, katanya kepada Bernama.

Azli berpendapat sekiranya undang-undang itu tidak dilaksanakan sekarang, lambat laun, ia perlu juga dilaksanakan memandangkan jenayah siber yang terus meningkat.

Bagaimanapun, Azli, yang juga presiden Persatuan Penyedia Kandungan Mudahalih Malaysia (MMCP), berkata pihak berkuasa perlu memberi tafsiran lebih jelas tentang undang-undang itu kerana ketika ini ia dilihat bersifat terlalu umum.

"Undang-undang ini dipandang negatif oleh kebanyakan orang kerana ia menghimpunkan semua pengguna Internet di bawah satu peraturan.

"Malah, ia perlu lebih spesifik kerana ketika ini, Seksyen 114A dilihat lebih melindungi mereka yang dianggap mangsa. Bagaimana pula dengan pemilik akaun yang sebenarnya menjadi mangsa? Sebagai contoh, seseorang yang digodam atau diceroboh akaunnya?" tanya beliau.

Azli mencadangkan agar subseksyen kepada seksyen utama perlu diwujudkan untuk memberi pelindungan kepada pemilik akaun media sosial seperti blogspot, Twitter atau Facebook, pengulas (individu yang menampal komen) dan mereka yang menampal semula atau mentweet semula sesuatu kandungan.

Beliau berkata ini bertujuan melindungi hak pemilik sesuatu akaun kerana ketika ini, seseorang pemilik blog tidak mempunyai kawalan terhadap komen yang diberi.

Katanya kerajaan perlu memberi penerangan secara lebih meluas kepada orang ramai tentang perlunya undang-undang seperti itu diperkenalkan kerana segala apa yang ditimbulkan oleh pengguna Internet pada 14 Ogos adalah berpunca daripada kegagalan mereka memahami sepenuhnya Seksyen 114A.

"Saya berpendapat sekiranya langkah diambil untuk meningkatkan kefahaman orang ramai dan melindungi hak mereka, orang ramai boleh menerimanya," katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak berasa takut dan mengelak daripada berkongsi maklumat serta pendapat mereka secara dalam talian berikutan kehadiran undang-undang itu.

Anehnya, penggubal undang-undang dari pihak kerajaan dan pembangkang sendiri yang meluluskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Mengulas perkara ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu dapat dielak sekiranya Anggota Parlimen meneliti rang undang-undang berkenaan ketika ia dibentang untuk perbahasan.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab dan tugas Anggota Parlimen untuk meneliti sesuatu rang undang-undang yang dibentang di Parlimen.

"Sepatutnya, semua Anggota Perlimen meneliti dengan sepenuh hati setiap rang undang-undang yang dibawa ke Parlimen, membincangkannya daripada pelbagai aspek di luar Dewan, sebelum membahaskannya.

"Mereka sepatutnya mengkaji secara serius kesan rang undang-undang itu terhadap sosiopolitik dan ekonomi sebelum berbuat demikian (membahas dan meluluskan rang undang-undang itu)," katanya.

Wan Junaidi berkata sebelum undang-undang itu dipinda, kerajaan atau Anggota Parlimen biasa perlu mengemukakan notis dan deraf pindaan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk dibentangkan.

Beliau berkata usul yang dikemukakan kerajaan selalunya diberi keutamaan, berbanding yang dikemukakan Anggota Parlimen.

Sementara itu, Khaw Veon Szu, bekas pengarah eksekutif Institut Sedar, sebuah kumpulan pemikir tempatan, berkata beliau yakin undang-undang berkenaan boleh dikaji semula dan dibuat pelarasan yang diperlukan bagi menambah baik pelindungan yang diberi terhadap hak pengguna Internet.

"Saya berpendapat kebimbangan yang disuarakan berhubung isu ini ada kewajarannya. Memandangkan kerajaan sedang berusaha untuk mewujudkan tadbir urus yang baik, maka wajarlah ia menelitinya semula. Tidak ada ruginya," kata Khaw yang juga seorang peguam.

Beliau juga mencadangkan agar pihak berkuasa menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk mengkaji semula undang-undang itu secara lebih holistik dan mendapatkan pandangan profesional daripada orang ramai serta pemegang kepentingan lain.-BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan