Mohd Irwan Serigar Dilantik Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Diterbitkan: Rabu, 22 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan mulai Jumaat ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan di sini Rabu berkata, pelantikan Mohd Irwan Serigar, 55, adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang tamat kontrak pada Khamis, 23 Ogos.

Mohd Irwan Serigar yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa, Ijazah Sarjana dalam bidang Dasar dan Pengurusan Tenaga Universiti Philedelphia Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Demografi Universiti Malaya mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam menerusi lantikan ke Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 9 Januari 1984.

Kenyataan itu berkata, pelantikan Mohd Irwan Serigar dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan beliau khususnya dalam pengurusan kewangan dan ekonomi semasa memegang beberapa jawatan dalam Kementerian Kewangan.

Antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) sejak 31 Dis 2010, Setiausaha Bahagian, Bahagian Analisa Ekonomi dan Antarabangsa, Timbalan Setiausaha Bahagian (Makro Ekonomi) di bahagian yang sama, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Nasihat Pengurusan Kewangan dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Analisa Ekonomi.

Ali percaya kelayakan, pengalaman, kompetensi dan ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki oleh Mohd Irwan Serigar akan membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan dan meneruskan kecemerlangan mengurus kewangan dan ekonomi negara dengan cekap, telus dan berkesan untuk mencapai matlamat pembangunan negara.

Beliau bagi pihak kerajaan persekutuan turut merakam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Wan Abdul Aziz di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberi sepanjang lima tahun memegang jawatan Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan