Pengusaha Bas Perlu Kaji Latar Belakang Pemandu - Fomca

Diterbitkan: Selasa, 21 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengusaha bas perlu mengambil sikap bertanggungjawab dengan membuat pemeriksaan kesihatan dan rekod peribadi pemandu bas dari masa ke semasa bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah atau jenayah.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Marimuthu Nadason berkata, pihak berkuasa telah melakukan pelbagai tindakan bagi membanteras kes-kes berkenaan termasuk menjalankan operasi tetapi ia sangat mengecewakan apabila masalah itu masih berulang.

"Jumlah 46 pemandu bas ekspres yang disahkan positif dadah dalam Op Selamat yang dijalankan di seluruh negara seperti dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan semalam (Isnin) adalah angka yang sangat membimbangkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Solah pada Selasa berkata, pengesanan pemandu bas yang disahkan positif dadah itu adalah hasil ujian saringan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di 32 terminal bas yang diperiksa dalam Op Selamat di seluruh negara dalam tempoh 12 Ogos hingga Jumaat lepas.

Marimuthu berkata, pengusaha bas perlu mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), JPJ, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) dan pihak berkuasa lain yang berkaitan bagi mencari mekanisme terbaik menangani masalah itu.

Beliau berkata, Fomca memandang serius perkara itu dan tidak seharusnya dijadikan sebagai 'masalah bermusim' kerana ia membabitkan keselamatan pengguna jalan raya, penumpang bas dan orang ramai.

"Antara faktor kepada pengambilan dadah atau alkohol di kalangan pemandu bas ialah untuk mengejar 'trip' (perjalanan) bagi mendapatkan pendapatan lebih.

"Fomca mencadangkan pengusaha bas menawarkan gaji atau imbuhan lain yang lebih baik kepada pemandu untuk memastikan mereka mendapatkan rehat yang secukupnya dan pada masa sama menjaga kesihatan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pengusaha bas mesti menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap pemandu bas mereka bagi memastikan pemandu mereka tidak terlibat dalam kejadian jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Selain melakukan penyelenggaraan berkala terhadap bas, pengusaha bas mesti melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas dari masa ke semasa dan alasan bahawa pengambilan dadah dan alkohol untuk 'memberi tenaga tambahan' tidak boleh diterima langsung, katanya yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Lee berkata, masalah pengambilan dadah di kalangan pemandu bas itu sudah berlarutan begitu lama dan telah tiba masanya semua pihak menumpukan perhatian terhadap masalah itu dan tidak hanya dihebah pada musim perayaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan