AirAsia Perlu Pulihkan Semula Laluan Mumbai, New Delhi

Diterbitkan: Selasa, 21 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: AirAsia perlu meningkatkan hubungan dan menggalakkan pelancongan antara Malaysia dan India dengan memulihkan semula penerbangan ke Mumbai dan New Delhi, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Vijay K. Gokhale.

Katanya, penggantungan penerbangan Mumbai dan New Delhi oleh AirAsia X, syarikat sekutu jarak jauh AirAsia, sejak Mac, telah memberi impak kepada matlamat Malaysia mentransformasi dirinya menjadi hub pelancongan di rantau Asia.

Gokhale berkata, Malaysia menerima kira-kira 693,000 pelancong India pada tahun lepas, iaitu peningkatan 10 peratus berbanding 2010.

"Kita telah mencatatkan pertumbuhan sejak lima tahun lepas. Jika ini berterusan, kita akan mencatatkan sejuta pelancong India ke Malaysia menjelang 2015.

"Berikutan penggantungan penerbangan itu, negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand menjadi semakin popular di kalangan pelancong India," katanya kepada Bernama.

Gokhale berkata, sebelum AirAsia X menghentikan penerbangan ke Mumbai dan New Delhi, Malaysia muncul sebagai salah satu destinasi paling digemari bagi pelancong India berikutan kemudahan pelancongan kelas pertamanya, yang termampu dan tempat pelancongan yang mengujakan.

Katanya, hubungan itu perlu dipertingkatkan bagi membolehkan catatan pergerakan penumpang yang lebih baik antara kedua-dua negara dan di kalangan Malaysia, Singapura dan Thailand, Malaysia mempunyai kekerapan penerbangan paling kurang ke India.

"Selain Malaysia, India juga menerima kesannya kerana kami di Suruhanjaya Tinggi melihat penurunan yang signifikan bilangan visa pelancong India yang dikeluarkan bagi rakyat Malaysia sejak sembilan bulan lepas," katanya.

Katanya, permintaan mendapatkan penerbangan ke dua-dua destinasi itu sangat tinggi.

"Jika AirAsia berkata trafik penumpang ke India adalah rendah, kenapa Malaysia Airlines (MAS) dan syarikat penerbangan di Singapura dan Thailand telah menggandakan kekerapan penerbangan masing-masing ke Mumbai dan New Delhi."

"Hampir kesemua penerbangan MAS adalah penuh berikutan permintaan yang kukuh. Tetapi, isunya di sini ialah pelancongan yang datang adalah mereka yang bersedia membayar lebih untuk melawat Malaysia.

"Jika AirAsia memulihkan semula penerbangannya ke Malaysia dari utara India, jadi semua orang boleh terbang dari India," katanya.

Kini, AirAsia mempunyai kemudahan perhubungan yang baik dengan bandaraya di selatan India bagi memudahkan rakyat India Malaysia melawat India bagi melakukan pengembaraan keagamaan dan atas sebab peribadi.

"Bagaimanapun, terdapat bilangan rakyat Malaysia yang besar dari utara India. Tambahan pula, rakyat bukan India di Malaysia juga lebih berminat pergi ke utara kerana terdapat banyak tarikan pelancongan purba di sana," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman-Rani berkata, trafik penumpang yang rendah dari Mumbai dan New Delhi, sekatan visa bagi perjalanan antara kedua-dua negara dan peningkatan caj lapangan terbang dan pengendalian di India telah menimbulkan "model tidak mesra" bagi syarikat penerbangan kos rendah.

Langkah itu dilabelkan sebagai langkah melengkapi MAS berkaitan urus niaga pertukaran saham antara AirAsia, AirAsia X dan MAS, yang kemudiannya dibatalkan atas beberapa sebab.

Penerbangan Kuala Lumpur-Mumbai empat kali seminggu AirAsia X digantung pada 31 Januari manakala perkhidmatan harian ke New Delhi dihentikan pada 22 Mac.

AirAsia kini terbang setiap hari ke Bangalore, Chennai, Kochi, Kolkata dan Tiruchirapalli, yang kesemuanya bandaraya di selatan India. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan