SPRM Antara Agensi Anti Rasuah Paling Disegani Di Dunia

Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat pujian sebuah badan antirasuah terkemuka yang menyifatkan ia sebagai antara agensi seumpamanya paling disegani di dunia.

Begitu juga dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, beliau turut diiktiraf dan disegani di kalangan pakar antirasuah dan masyarakat antarabangsa, kata Presiden rangkaian European Partners Against Corruption (Epac) Martin Kreutner.

Abu Kassim ialah anggota Interpol Group of Experts on Corruption (Igec) dan ahli jawatankuasa eksekutif Lembaga Penasihat Akademik Antarabangsa Akademi Anti Rasuah (IACA) yang berpangkalan di Vienna.

Kreutner, pengerusi IACA yang kini melawat Malaysia, memberitahu Bernama akademi itu akan memeterai satu memorandum persefahaman dengan SPRM tidak lama lagi bagi mewujudkan rangka kerja usaha sama program Ijazah Sarjana yang pertama dalam bidang anti rasuah, yang menyaksikan sebahagian program tersebut dikendalikan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

MACA turut mengendali beberapa program antarabangsa lain dan merupakan akademi anti rasuah pertama di dunia.

Program 24 bulan untuk golongan profesional dalam bidang pencegahan rasuah, pegawai polis, hakim dan pegawai agensi pelaksana lain, akan dilancarkan pada 9 Dis ini sempena Hari Anti Rasuah Sedunia.

Program yang bersandar sepenuhnya kepada pengajian rasuah secara global dan menangani gejala itu daripada pelbagai perspektif, dijangka menarik minat peserta dari seluruh pelosok dunia.

Kreutner berkata, ia bukan sahaja menggabungkan perspektif rasuah dan undang-undang malah perspektif rasuah dan sains, rasuah dan keselamatan selain rasuah dan politik serta ekonomi.

"Modul ini bakal mencerminkan pemahaman umum dan kerjasama antarabangsa dalam membanteras rasuah, yang menjadi semakin penting, oleh itu, kami memberi penekanan terhadap kerjasama antarabangsa," katanya.

Kreutner, bekas Ketua Suruhanjaya Anti Rasuah Austria, berkata pergerakan Arab Spring yang telah menumbangkan beberapa rejim Arab sejak dua tahun lepas, adalah satu contoh jika tidak ada kehendak politik pihak atasan untuk memerangi rasuah, rakyat akan menggunakan pendekatan revolusioner.

"Salah satu elemen penting dalam pergerakan Arab Spring ialah rakyat sudah muak dengan rasuah. Di sini jelas menunjukkan rakyat tidak rela dianiaya."

Beliau berkata, perjuangan menentang rasuah di peringkat antarabangsa telah menampakkan hasil yang memberangsangkan sejak beberapa dekad kebelakangan ini kerana Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah diterima pakai di banyak negara.

Kreutner juga mendedahkan ketika dua ketua negara di rantau Arab meletak jawatan pada kemuncak pergerakan Arab Spring, ia hanya mengambil masa 30 minit untuk membekukan aset haram mereka di tempat yang selama ini difikirkan selamat.

"Jika perkara ini berlaku 10 tahun lepas, ia akan mengambil masa 30 bulan, dan jika 25 tahun lepas, sesetengah tempat simpanan akan memberi maklum balas 'Kerahsiaan bank, tidak ada maklumat. Noktah.' Saya rasa ada peningkatan yang positif selain kisah kejayaan, namun pada akhirnya, kita perlu menerima hakikat bahawa 'Rom bukanlah dibina dalam tempoh sehari," katanya.

Mengulas pendekatan melalui pendidikan untuk memerangi rasuah, yang diiktiraf sebagai profesyen kedua tertua dunia, beliau berkata semua negara perlu melaksanakan pendekatan itu antara generasi, bermula dengan kanak-kanak dan golongan belia.

"Apabila saya ke sekolah, dan kemudian ke universiti untuk belajar undang-undang, rasuah tidak disebut sama sekali. Hanya apabila saya mengkhusus dalam bidang undang-undang jenayah, rasuah merupakan antara isu di kalangan yang lain. Saya rasa amat penting untuk mewujudkan satu bab pendidikan bagi mempertingkat kesedaran di kalangan rakyat bahawa ia bukan sesuatu yang kecil, bahkan boleh mengakibatkan sesebuah negara kerugian berbilion setahun.

"Pada asasnya, rasuah adalah bertentangan dengan hak asasi manusia. Ia juga bertentangan dengan ekuiti dan kesaksamaan.

Dalam konteks ini, membanteras rasuah juga ialah berkaitan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik," katanya.

Kreutner berkata, rasuah akan terus wujud pada masa depan, dan usaha harus ditumpu terhadap pembaikan beransur-ansur serta keperluan bagi perspektif jangka panjang.

"Jika ahli politik atau seorang pengurus berjanji beliau boleh membasmi rasuah dalam tempoh setengah tahun, besar kemungkinan beliau ialah seorang penipu. Saya lebih suka melihat gelas yang separuh berisi daripada separuh kosong," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan