Pandelela Dilantik Ikon Wanita Muda Cemerlang KPWKM

Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg hari ini dilantik sebagai Ikon Wanita Muda Cemerlang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas kejayaan beliau meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London baru-baru ini.

Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata Pandelela merupakan 'role model' kepada generasi muda mencapai ke tahap cemerlang di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Katanya pelbagai program termasuk 'roadshow' akan diatur mengikut kesesuaian dan persetujuan Pandelela, malah ibu bapa Pandelela akan turut dilibatkan dalam usaha kementerian menekankan kepentingan institusi kekeluargaan dalam memberi kejayaan kepada anak-anak.

"Dalam konteks ini, ibu bapa Pandelela telah berusaha sejak Pandelela kecil lagi untuk memastikan beliau berjaya dalam hidupnya. Jadi sokongan ibu bapa dan institusi kekeluargaan sangatlah penting bagi kejayaan seseorang anak itu," katanya kepada pemberita selepas meraikan Pandelela dalam sebuah majlis di kementerian di sini Jumaat.

Pandelela, 19, memenangi gangsa dalam acara platform 10 meter di Sukan Olimpik London 2012, sekaligus merupakan wanita pertama Malaysia yang memenangi pingat di temasya Olimpik.

Noorul Ainur yang turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Pandelela itu, bagaimanapun berkata dari segi insentif, kementerian masih belum membuat keputusan.

Sementara itu, Pandelela berkata beliau bersyukur serta teruja memikul tanggungjawab itu dan berterima kasih kepada kementerian kerana memberi penghormatan tersebut.

"Saya masih muda dan banyak yang saya perlu pelajari, jadi saya harap kalau ada kesilapan tolong ajar," katanya yang turut menasihati golongan muda agar tidak mudah mengalah dalam setiap perkara yang diceburi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan