Keberkesanan Program Cegah Jenayah Akan Dikaji - Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 16 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Beberapa program yang menyasarkan penurunan kadar jenayah akan diperkasa melalui kajian semula terhadap keberkesanan inisiatif itu bermula bulan depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kajian semula terhadap program Rakan Cop, MyDistress, Talian Nur, Rukun Tetangga, dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) itu dicadang supaya penambahbaikan dapat dibuat bagi memenuhi matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah.

"Saya telah minta program itu dikaji dan Insyaallah selepas Aidilfitri kita akan berbincang untuk menentukan program mana yang boleh diperhebat dan diperluaskan lagi.

"Kajian ini bagi membolehkan kementerian mengenal pasti program mana yang betul-betul berkesan dalam mengurangkan jenayah, dan jika sebaliknya, kita juga nak tahu sebab ia tidak berkesan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Rumah Selamat peringkat Petaling Jaya sempena sambutan Aidilfitri di sini, Khamis.

Beliau berkata keberkesanan 'Op Selamat' yang menggantikan 'Ops Sikap' sempena musim perayaan juga akan dibincangkan ketika itu sama ada perlu ditambah baik untuk pelaksanaannya di masa depan.

Berhubung keselamatan penduduk ketika pulang berhari raya, Hishammuddin berkata satu pangkalan data akan diwujudkan bagi menyimpan rekod hasil maklumat yang diisi melalui Borang Maklumat Balik Kampung yang disediakan polis.

Beliau, yang turut mengedarkan kira-kira 2,000 borang berkenaan pada majlis itu, menggesa orang ramai mengisi setiap maklumat yang diperlukan sebelum diserahkan kepada balai polis berhampiran bagi tujuan rondaan cegah jenayah sepanjang mereka meninggalkan rumah di musim perayaan.

"Kita perlu simpan rekod ini supaya pangkalan data sedia ada dapat digunakan ketika orang ramai pulang bercuti ke kampung, umpamanya ketika menyambut Tahun Baru Cina dan Deepavali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata kerajaan sedia menambah bilangan anggota polis bagi mengimbangi nisbah penduduk, namun perkara itu memerlukan perbincangan terperinci.

"Namun, KDN juga sentiasa mencari alternatif lain dalam menangani isu keselamatan seperti mewujudkan Rela dan Rukun Tetangga selain pendekatan baru melatih anggota polis di kem-kem tentera dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan