Tiada Cadangan Lupus 1 Peratus Caj Perkhidmatan PTPTN - Ismail

Diterbitkan: Rabu, 15 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak bercadang melupuskan satu peratus caj perkhidmatan pentadbiran yang dikenakan kepada para peminjam.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamad Said berkata caj tersebut masih relevan serta rendah jika dibandingkan dengan caj 4 peratus yang pernah dikenakan perbadanan itu, sebelum ini.

"Caj ujrah itu murah, berpatutan dibandingkan dengan caj perkhidmatan yang dikenakan bank atau institusi kewangan lain di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan raya di Masjid Rumpun Makmur, di sini, Rabu.

Mereka yang menerima sumbangan terdiri daripada anak yatim, golongan miskin, warga emas dan ahli jawatankuasa dan pegawai masjid berkenaan.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata sejak ditubuhkan 14 tahun lepas, PTPTN meluluskan pinjaman kepada 1.94 juta pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, membabitkan peruntukan lebih RM44 bilion.

Katanya, kira-kira 70 peratus daripada peminjam tabung itu melunaskan pinjaman masing-masing berikutan pendekatan PTPTN yang memperkenal kaedah bertolak ansur dan memujuk untuk membayar hutang.

Menjelang akhir tahun ini, PTPTN akan membuka cawangan di setiap negeri bagi memudahkan pelajar dan orang ramai berurusan, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan