Kecuaian Pemilik Rumah Punca Kes Pecah Rumah - Polis

Diterbitkan: Rabu, 15 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kecuaian pemilik rumah adalah antara faktor yang menyumbang kepada kes pecah masuk rumah terutama pada musim perayaan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata kepulangan warga kota ke kampung halaman memberi peluang kepada penjenayah termasuk rakyat asing untuk mencari duit poket dengan cara mudah iaitu memecah masuk ke kediaman mangsa terutama rumah yang mempunyai sistem kawalan keselamatan lemah.

"Inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh penjenayah apabila pemilik rumah pulang ke kampung untuk menyambut hari raya. "Keadaan kawasan kediaman yang lengang dan tiada berpenghuni memudahkan lagi kerja mereka untuk memecah masuk kediaman itu," katanya kepada pemberita selepas sesi tinjauan mesra di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, Rabu.

Beliau berkata bagi mengekang kejadian itu, pemilik rumah perlu memaklumkan ketiadaan mereka kepada polis dan jiran terdekat selain memastikan rumah sentiasa dalam keadaan berkunci.

Mohd Bakri berkata polis memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada penduduk untuk memudahkan mereka membuat rondaan dan berkawal.

"Pemilik rumah perlu memberi maklumat seperti alamat tempat tinggal dan tempoh mereka tiada di rumah kepada balai polis terdekat, manakala jiran yang tidak pulang ke kampung, kami minta segeralah menghubungi polis jika terlihat orang asing atau keadaan mencurigakan di kawasan kejiranan masing-masing," katanya.

Beliau berkata bermula dari Januari hingga Julai tahun ini, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes pecah masuk rumah masih terkawal iaitu kes pecah rumah yang direkod ialah 14,291 kes berbanding yang dicatat dalam tempoh sama tahun lepas iaitu 18,171 kes.

Statistik ini menunjukkan penurunan kes sebanyak 21.4 peratus, katanya.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Trafik Pasukan Datuk Abd Aziz Yusof berkata statistik Op Selamat akan dikeluarkan setelah operasi itu berakhir pada penghujung bulan ini. Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Berbuka puasa Anih Berhad bersama warga Op Selamat di Plaza Tol Gombak dan sumbangan sempena Aidilfitri turut diagih kepada kira-kira 4,000 pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Sementara itu, Pengarah Anih Berhad Nik Fauzi Nik Hussain menjangkakan penggunaan lebuh raya itu meningkat tiga kali ganda sempena musim perayaan ini.

Berikutan itu, pihaknya akan membuka 126 lorong tol yang melibatkan 400 jurutol sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Selain itu, seramai 140 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) ditugaskan pada 17, 18, 25 dan 26 Ogos ini bagi membantu mengawal lalu lintas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan