Dewan Negara Putuskan Sama Ada Senator Keluar Parti Kekal Atau Gugur

Diterbitkan: Rabu, 15 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Negara yang bertindak keluar dari parti yang dianggotainya perlu melalui proses di mana perkara itu akan dibahas pada Persidangan Dewan Negara dan diputuskan sama ada kekal sebagai Senator ataupun digugurkan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan itu juga boleh dibuat secara undi belah bahagi oleh anggota Dewan Negara yang mengambil bahagian dalam perbahasan.

"Ia mesti dibawa ke Dewan Negara dan dibahaskan sama ada ia jatuh ataupun kekal, ikut budi bicara Speaker, kejatuhan hanya atas keputusan Dewan," katanya kepada Bernama di sini.

Dr Wan Junaidi berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan, Senator dilantik mengikut jangka masa tertentu sama ada dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas saranan Perdana Menteri, ataupun dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sekiranya dicalonkan dalam DUN kemudian dimajukan ke Parlimen untuk lantikan, maka pihak DUN boleh mengambil satu inisiatif sama ada dia ditamatkan perkhidmatan ataupun sebaliknya.

"Perkara itu kemudian akan dibawa ke Dewan Negara, dan atas permintaan anggota, perkara itu dibahas dan boleh diundi belah bahagi, sekiranya pada masa itu bukan masa persidangan, maka Speaker akan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan persidangan khas," katanya.

Beliau berkata sekiranya Senator dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong maka pihak yang mencadang akan membawa perkara itu kepada Perdana Menteri sebelum memohon perkenan Seri Paduka Baginda.

"Kalau Yang di-Pertuan Agong setuju, ia akan dibawa ke Dewan Negara dan dibahas, siapa kata setuju kata setuju, dan siapa tidak bersetuju katakan tidak, sekiranya ada 15 orang anggota yang tidak bersetuju, maka undi belah bahagi akan diadakan," katanya.

Dr Wan Junaidi berkata Senator itu juga boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengundi bagi mempertahankan dirinya serta mempengaruhi Dewan sama ada beliau layak menjadi Senator ataupun tidak.

Ahad lepas, Senator Datuk Maijol Mahap, yang juga Naib Presiden Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (Upko), mengisytiharkan keluar Barisan Nasional (BN) kerana hilang keyakinan parti komponen itu benar-benar bersungguh-sungguh mahu membela nasib penduduk Sabah.

Sementara itu, mengulas kedudukan kerusi Anggota Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing di Dewan Rakyat, Dr Wan Junaidi berkata jika mereka tidak memasuki mana-mana parti pembangkang, mereka akan ditempatkan di blok Bebas.

Bagaimanapun, beliau berkata Parlimen hanya akan bertindak selepas mendapat maklumat rasmi berhubung tindakan mereka yang keluar BN daripada pihak tertentu.

"Parlimen bertindak sebagai pelaksana dan tidak boleh mendengar khabar angin di luar sana, kalau mereka (Lajim dan Bumburing) dan parti mereka tidak beritahu Parlimen, kita tidak boleh bergantung kepada maklumat yang dibaca di dalam akhbar," katanya sambil menambah beliau tidak pasti sama ada Parlimen sudah menerima surat rasmi daripada mereka.

Dr Wan Junaidi berkata sebaik sahaja maklumat rasmi diterima, kerusi mereka akan diatur agar Lajim serta Bumburing berada di tempat lain dan tidak duduk di tempat yang lama.

"Kalau mereka masuk dalam mana-mana parti dalam Pakatan Pembangkang, maka kerusi mereka akan diatur mengikut kekananan dalam parti, kalau mereka kata akan bekerjasama dengan DAP ataupun PKR, maknanya mereka belum masuk parti dan akan diletakkan bersama Bebas," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan