KSN Mahu Ketua Jabatan Lebih Kerap Turun Padang

Diterbitkan: Selasa, 14 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua jabatan perlu lebih kerap turun padang bagi mendapatkan maklum balas akar umbi, terutama ketika menghadiri mesyuarat atau sebarang majlis pada peringkat negeri atau daerah.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata mereka boleh melawat cawangan jabatan sendiri atau cawangan jabatan lain dan meneliti jenis serta kualiti perkhidmatan yang diberi, selain hal berkaitan penjawat awam di cawangan itu.

"Kita perlu prihatin sebagai ketua dalam perkhidmatan awam, bukan saja kepada target group (kumpulan sasar) yang kita sampaikan perkhidmatan tetapi juga kebajikan pegawai dan kakitangan kita sendiri.

"Jadi kalau tak turun padang kebanyakan masa kita tidak tahu," katanya ketika menyampaikan amanat pada program Bicara Merdeka dan Sesi Bersama Ketua Setiausaha Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini Selasa.

Ali berkata beliau menerima kira-kira 100 emel sehari, kebanyakannya daripada pegawai awam, mengadu pelbagai masalah termasuk tidak naik pangkat, sukar berpindah lokasi kerja kerana kenaikan pangkat serta cadangan berkaitan.

"Kadang-kadang on paper (atas kertas) kita nampak cantik tapi pergerakan manusia, kenaikan pangkat atau keselesaan dalam pejabat hanya pegawai terbabit yang tahu, jadi kalau ketuanya tak turun padang, tak melihat keadaan ini, dia tiada perasaan simpati dan sebagainya. He should be caring (ketua sepatutnya mengambil berat)," katanya.

Ali juga berkata setiap lawatan perlu diadakan dengan kos seminimum mungkin tanpa sambutan besar-besaran kerana tujuannya sekadar melawat jabatan sendiri.

"Ini adalah sebahagian daripada tugas kita menjalankan kerja," katanya kepada pemberita selepas itu.

Beliau turut menggalakkan ketua jabatan melihat amalan di negara lain yang boleh dipertimbang untuk dilaksana di sini, serta mengamalkan dasar kepimpinan terbuka serta konsep musyawarah.

Dalam perkembangan lain, Ali berkata ketua jabatan mungkin turut serta dalam perarakan kemerdekaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos nanti sebagai usaha merakyatkan perkhidmatan awam.

Kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan menyertai program itu yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Biro Tatanegara Datuk Raja Arif Raja Ali. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan