BN Akan Menang PRU Akan Datang - Presiden Upko

Diterbitkan: Isnin, 13 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang, terutama pada pilihan raya negeri Sabah.

Katanya berdasarkan sokongan rakyat, Sabah kekal sebagai kubu kuat BN dan sejajar dengan itu, beliau menyeru mereka, terutama masyarakat Kadazandusun Murut (KDM), supaya terus bersama BN demi kebaikan mereka.

"Memang tidak diragukan bahawa BN kuat di Sabah, tapi tidak boleh dinafikan akan ada cabaran di kawasan bandar dan sub bandar.

"Tapi, saya yakin BN akhirnya akan menang pada pilihan raya akan datang," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Ramadan 1Malaysia di Kompleks Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Kepayan, sekat sini malam Ahad.

Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Utama dan Komoditi, menyangkal dakwaan bekas timbalan presiden Upko Datuk Wilfred Bumburing bahawa 40 peratus pemimpin Upko meninggalkan parti itu untuk menyertai Pakatan.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa hanya Bumburing, seorang naib presiden Upko, seorang pengerusi tetap dan segelintir pemimpin termasuk anggota dewan tertinggi, telah meninggalkan parti ini," katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya oleh pembangkang yang menabur janji untuk memancing undi mereka.

Pada Ahad, naib presiden Upko Senator Datuk Maijol Mahap mengesahkan keputusan beliau meninggalkan BN pada satu majlis di kediamannya di Kampung Kokobuan, Kota Marudu.

Maijol adalah pemimpin BN ketiga yang meninggalkan parti gabungan itu sejak bulan lepas, selain Bumburing dan Anggota Parlimen Beaufort, yang juga bekas timbalan menteri persekutuan serta anggota majlis tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin.

Sementara itu, Dompok mengumumkan pemberian peruntukan RM10,000 kepada surau yang terletak di kawasan kompleks itu.

"Di Sabah, kami boleh merapatkan hubungan melalui majlis berbuka puasa anjuran wakil rakyat beragama Islam dan bukan Islam.

"Jelas sekali, kecenderungan politik dapat diketepikan manakala ciri-ciri kemanusiaan kami ditonjolkan dan dengan jelas menunjukkan setiap rakyat dilayan secara sama rata," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan