PTPTN Sedia Timbang Permohonan Pelajar Di Negara Bergolak - Ismail

Diterbitkan: Sabtu, 11 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDAR TUN RAZAK: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia menimbang permohonan pinjaman pelajar yang menuntut di negara sedang bergolak, kata Pengerusinya Datuk Ismail Mohamad Said.

Bagaimanapun, katanya bagi melayakkan pelajar terbabit mendapatkan pinjaman, mereka disyaratkan pulang dan menyambung belajar di tanah air serta tidak pernah mendapat pinjaman atau tajaan mana-mana pihak.

"Pelajar terbabit perlu mengemukakan permohonan mengikut peraturan sedia di mana-mana cawangan PTPTN untuk dipertimbangkan," katanya pada majlis penyerahan waran Wang Pendahaluan Pembiayaan (WPP) Parlimen Kuala Krau di Bandar Tun Razak, Jengka, malam Jumaat.

Ismail berkata setakat ini belum ada pelajar terlibat mengemukakan permohonan, sambil menambah sebanyak RM6 bilion diperuntukkan PTPTN tahun ini, sebagai bayaran WPP kepada pelajar yang layak.

"PTPTN tidak memilih dalam memberi pinjaman, malah mereka yang layak terutamanya daripada kalangan keluarga miskin akan diberi pinjaman tersebut," katanya. Sehingga ini, lebih RM44 bilion pinjaman diberi kepada seramai 1.94 juta pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi.

Ismail, yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau, memaklumkan seramai 2,876 pelajar di Pahang telah ditawarkan WPP dengan peruntukan sebanyak RM4.3 juta manakala bagi kawasan Parlimen Kuala Krau, seramai 199 pelajar yang layak membabitkan jumlah RM298,500 dengan tiap seorang menerima RM1,500.

Katanya sehingga akhir Julai lalu, sebanyak 583,634 waran WPP ditunaikan membabitkan nilai RM856.9 juta. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan