Bapa Sangat Terharu Kejayaan Pandelela

Diterbitkan: Sabtu, 11 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Bangga dan terharu: Pamg dan anak perempuannya, Pici Parnia, 14, menonton aksi Pandelela ketika saingan akhir terjun 10 meter platform wanita pada Sukan Olimpik London 2012. Foto THE STAR Oleh: ZULAZHAR SHEBLEE.
Bangga dan terharu: Pamg dan anak perempuannya, Pici Parnia, 14, menonton aksi Pandelela ketika saingan akhir terjun 10 meter platform wanita pada Sukan Olimpik London 2012. Foto THE STAR Oleh: ZULAZHAR SHEBLEE.

PETALING JAYA: Buruh kontrak, Pamg Joheng yang juga bapa kepada penerjun sensasi negara, Pandelela Rinong Pamg berasa sangat bangga hingga sanggup tidak pergi ke mana-mana, semata-mata untuk menyaksikan perlawanan akhir terjun 10 meter platform wanita di Sukan Olimpik London 2012.

Dia yang menonton secara langsung di televisyen di rumahnya di Taman Samarex, Kota Samarahan melahirkan rasa bangga melihat pencapaian anaknya itu apabila berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara tersebut.

Pamg sanggup tidak ke mana-mana semata-mata bagi merealisasikan janji yang dibuat kepada anaknya itu sebelum ini.

Kejayaan Pandelela itu sekaligus mencipta sejarah menjadikan dia sebagai wanita pertama negara berjaya meraih pingat gangsa dalam saingan 10 meter platform akhir wanita awal pagi Jumaat (waktu Malaysia).

Sambil menyifatkan pingat gangsa yang dimenangi anaknya itu sebagai sesuatu yang hebat jika hendak dibandingkan dengan tekanan yang terpaksa dihadapi remaja berusia 19 tahun itu.

Dia berkata perkara itu amat menakjubkan lebih-lebih lagi selepas terjunan pertama Pandelela kurang sempurna hingga menyebabkan dia ketinggalan di tangga ke-10 daripada 12 penerjun dalam saingan akhir.

Pamg, 46 berkata sebagai ayah dia sangat berbangga dengan anak sulung daripada empat beradik itu kerana berjaya mencipta sejarah sukan Malaysia apabila menjadi atlet pertama berjaya menyumbangkan pingat Olimpik selain daripada sukan badminton.

"Saya telah berjanji sebelum dia ke Olimpik yang saya tidak akan pergi bekerja keesokan harinya jika dia memenangi sebutir pingat. Dia mahu saya berehat di rumah dan berkongsi kejayaannya.

"Ketika menonton televisyen pagi ini, pada mula saya fikir mungkin dia tidak ada peluang. Namun apa yang mengejutkan, penerjun-penerjun lain turut gagal melakukan terjunan yang baik dan saya bangga dia berjuang serta berjaya melakukan terjunan yang bagus.

"Dia sentiasa mempunyai pemikirannya tersendiri dan tidak mudah tertekan dengan beban yang dipikulnya. Seluruh komuniti Bidayuh sangat berbangga dengan pencapaiannya," kata Pamg yang sangat teringin ke London untuk menonton Pandelela beraksi namun dia mengakui terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.

Isterinya, Hartini Anak Lamim, 44, telah pergi ke London untuk bersama-sama Pandelela melalui rombongan yang di bawa oleh Dutch Lady Malaysia yang turut menaja tambang penerbangan serta penginapan di sana.

"Pandelela telah banyak membantu keluarga dengan insentif yang dimenanginya sejak dua tahun lalu. Saya sangat bangga melihat kejayaannya. Dia gigih berlatih dan tidak kembali tinggal dengan kami hampir setahun ini.

"Pernah sekali dia hadir pada satu majlis di sini namun dia terpaksa terbang untuk kembali ke Kuala Lumpur segera. Namun saya faham dia perlu membuat persedian rapi untuk kejohanan yang akan disertainya," katanya.

Pandelela dijangka akan pulang ke rumahnya dengan sambutan besar-besaran oleh kerajaan negeri Sarawak dan komunitinya pada minggu hadapan.

Ditanya mengenai persiapan yang akan dibuat oleh keluarganya bagi meraikan kepulangan Pandelela, Pamg berkata anak sulungnya seorang yang sederhana.

"Dia tidak akan meminta apa-apa selalunya dia akan minta ibunya memasak makanan kegemarannya, sambal goreng petai dengan udang," katanya. Turut kedengaran khabar angin yang mengatakan Pandelela akan dianugerahkan gelaran, Datuk oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, di SEPANG Hartini berkata dia tidak dapat menahan kegembiraan sehingga mengalirkan air mata menyaksikan anaknya berjaya pingat gangsa.

"Saya sangat berbangga dengan dia. Pandelela mengalami kecederaan sebelum berlepas ke London, namun dia tetap kuat semangat melakukan yang terbaik," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas kembali dari London pada malam Jumaat.

Hartini berkata Pandelela, yang mula aktif dalam sukan terjun ketika berusia lapan tahun seorang yang sangat berdisplin dan mempunyai motivasi diri yang tinggi, tidak mudah berputus asa dalam mencapai cita-citanya.

"Saya tahu dia sakit, namun dia tidak menyerah kalah. Saya hanya mampu terus berdoa agar dia menang," katanya sambil menambah latar belakang keluarganya yang sederhana tidak pernah menjadi satu halangan untuk Pandelela mencapai kejayaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan