Bapa Bawa Pulang Anak Yang Dilarikan Kekasih di Pulau Flores

Diterbitkan: Sabtu, 11 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Seorang bapa dari Malaysia dengan penuh rasa syukur pada Sabtu membawa pulang anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun, yang terpisah selama tiga bulan apabila dilarikan seorang pemuda ke sebuah kampung di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT) Indonesia.

Pada 9 Mei lalu, pemuda bernama Sukri, seorang pekerja Indonesia berusia 23 tahun, melarikan gadis itu dari asrama Sekolah Menengah Vokasional Keningau, Sabah.

Pasangan kekasih itu menempuh perjalanan lebih sebulan sebelum sampai ke kampung Geliting, Maumere, Flores di mana mereka berdua menetap.

Bapa gadis itu, yang bersetuju diwawancara oleh wartawan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan bagi melindungi anaknya yang masih bawah umur, berharap pengalaman pahit yang beliau lalui itu tidak berulang kepada ibu bapa lain di Malaysia.

Abdullah (bukan nama sebenar), yang masih tertekan dengan peristiwa menimpa anaknya itu, menceritakan beliau amat terkejut apabila pertama kali mendapat tahu anaknya Adrianna (bukan nama sebenar) hilang dari asrama Sekolah Menengah Vokasional Keningau, apabila dihubungi seorang guru kelasnya, selepas dua hari anaknya menghilang.

Guru kelas itu mengambil inisiatif menghubungi beliau kerana hairan anaknya tidak hadir kelas untuk ujian semester sedangkan pihak asrama tidak menyedari bahawa anaknya dilarikan kekasihnya iaitu pemuda Indonesia yang bekerja sebagai pemandu di Sabah.

Ketika diminta menceritakan kisah yang berlaku itu, Adrianna yang kelihatan agak kebingungan setelah diserahkan oleh polis Indonesia kepada bapanya di sini semalam, berkata dia dan kekasihnya merancang rapi untuk dia lari dari asrama itu.

Pada 9 Mei, Adrianna memberi alasan dibawa pulang ibunya dengan meniru tandatangan ibunya di dokumen rekod asrama namun kepada rakan asrama dia memberitahu akan berpindah sekolah.

"Saya membawa semua baju dalam beg pakaian yang besar dan kawan-kawan bantu mengangkat beg masuk ke dalam teksi yang menunggu di dalam kawasan sekolah. Pengawal sekolah juga melihat, dan saya keluar dari sekolah seorang diri dalam teksi itu," katanya.

Teksi membawa Adrianna ke Penampang di mana kekasihnya Sukri sedia menunggu dan dari sana mereka menaiki bas untuk perjalanan kira-kira 10 jam ke Tawau dan meneruskan perjalanan menaiki bot laju ke Nunukan, Indonesia dalam perjalanan yang hanya menempuh masa setengah jam.

Adrianna berkata semasa di Nunukan dia dan kekasihnya menunggu sebulan untuk kedatangan kapal penumpang yang akan membawa mereka ke Flores namun dalam tempoh dua minggu di situ mereka melangsungkan pernikahan siri (pernikahan rahsia) melalui seorang Ustaz dengan bayaran Rp5 juta.

Perjalanan ke Pelabuhan Maumere, Flores dengan menggunakan sebuah kapal besar lapan tingkat mengambil masa seminggu kerana kapal itu singgah berlabuh di Tarakan, Balikpapan, Pare-Pare dan Makassar, katanya.

Di Kampung Geliting, Adrianna tinggal di sebuah rumah kecil yang serba kekurangan, termasuk menggunakan dapur kayu api dan dia terpaksa membantu Sukri menjalankan kerja seperti mengupas asam jawa untuk dijual manakala Sukri pada masa-masanya memancing di pelabuhan untuk lauk makanan mereka.

Adrianna mula mengenali Sukri sejak tahun 2011 apabila lori gas yang dipandu pemuda itu rosak di depan rumahnya di Sabah namun Sukri datang semula ke rumahnya keesokan hari untuk meminta nombor telefon yang boleh dihubungi.

Mulai hari itu, mereka saling berhubungan secara rahsia dan Adrianna mengaku jatuh hati terhadap Sukri yang disifatkan bertanggungjawab dan melayani segala kemahuannya.

Apabila Adrianna melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Vokasional Keningau dan tinggal di asrama pada tahun ini, Sukri memberinya sebuah telefon bimbit untuk membolehkan mereka terus berhubungan, sehinggalah Sukri merancang melarikan Adrianna dari asrama sekolah itu pada 9 Mei lalu.

Abdullah berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya menemui semula Adrianna termasuk Kedutaan Malaysia di Indonesia, Balai Polis Penampang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Pejabat Wilayah Sabah, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Markas Besar Polis Indonesia. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan