Pengguna Perlu Berhati-Hati Dengan Haiwan Di Lebuhraya

Diterbitkan: Jumaat, 10 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tips keselamatan jalan raya yang biasa digunakan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan ialah berhati-hati dan mematuhi had laju. Dam kemudian berjaga-jaga...dengan lembu?

Papan tanda yang menggesa para pemandu dan pengguna jalan raya lain supaya berhati-hati dengan lembu telah ditempatkan di 29 lokasi di sepanjang lebuh raya kira-kira tiga minggu lalu, menurut syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia.

"Terdapat peningkatan jumlah haiwan yang dilihat di sepanjang lebuhraya tersebut dan kami mahu memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan lembu dan haiwan sesat lain, terutamanya di lokasi-lokasi tertentu," kata pengurus kanan komunikasi korporat Mohd Nizam Ismail, Khamis.

"Kebanyakan haiwan yang dilihat sesat adalah lembu, kerbau, tapir dan babi hutan. Tetapi haiwan lain seperti anjing, monyet dan kambing juga sering dilihat. "

Seorang wanita dan anak lelakinya terbunuh pada Ahad lalu apabila kereta mereka berlanggar dengan lembu berhampiran plaza tol Simpang Ampat di Melaka.

Ngatinah Kemin, 47, dan anaknya berusia 10 tahun Habib Firdaus dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke rumah mereka di Simpang Renggam bersama-sama suami dan anaknya ketika kemalangan berlaku pada pukul 1.20 pagi.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata kejadian seumpama itu jarang-jarang berlaku dan bukan perkara biasa bagi lembu menyeberangi lebuh raya.

"Di kawasan luar bandar, ya, ia banyak berlaku. Tetapi ini adalah kes pertama yang saya dengar dalam dua tahun saya di Kementerian Pengangkutan," kata timbalan ketua pengarah, Datuk Ismail Ahmad.

Beliau menjelaskan haba yang terkumpul di atas jalan pada waktu malam menjadikan ia panas dan "selesa" untuk lembu duduk di atasnya.

Ismail berharap penternak lembu akan memasukkan lembu mereka di dalam kandang, terutama pada waktu malam.

Pada Julai 2008, tiga orang terbunuh dalam dua kemalangan berasingan di lebuh raya sepanjang 772km yang sama dalam masa beberapa hari di Rembau dan Jitra selepas berlanggar dengan lembu.

Setiausaha Umno Pahang Datuk Abdullah Rahmat meninggal dunia apabila kereta beliau melanggar lembu di Temerloh di Lebuhraya Pantai Timur pada 12 Disember 2008.

PLUS menggesa orang ramai supaya menghubungi talian hotline 1800 88 0000 apabila mereka melihat binatang berkeliaran di atas lebuh raya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan