Kerajaan Kelantan Tidak Akan Boikot Jawatankuasa Khas Petroleum

Diterbitkan: Khamis, 9 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Kerajaan negeri Kelantan tidak akan memulaukan jawatankuasa khas yang dibentuk bagi mengkaji bayaran tunai hasil petroleum negara kepada tiga negeri di pantai Timur.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tidak ada sebab untuk memulaukan jawatankuasa berkenaan kerana kerajaan negeri berminat untuk mendapatkan bayaran tunai hasil petroleum itu dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun, kita akan berbincang isu ini di peringkat Exco atau melantik wakil kita dalam jawatankuasa berkenaan walaupun nama Tengku Razaleigh telah dicadangkan, namun belum ada keputusan mengenainya dibuat.

"Tidak ada sesiapa akan memboikot kerana kami mahu duit tersebut dibayar kepada kerajaan negeri dan tidak ada keperluan untuk melambatkan pembayaran royalti berkenaan kerana ia sememangnya milik negeri Kelantan," kata Nik Aziz kepada pemberita selepas merasmikan Projek Anak Muda Kelantan di sini, Rabu.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-PAS, Gabungan Professional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) tuntut kerajaan negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS memboikot jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Memorandum menggesa kerajaan negeri memboikot jawatankuasa khas petroleum itu diserahkan oleh Pengerusi NGO berkenaan, Nazri Deraman kepada Nik Aziz sebaik sahaja majlis rasmi beliau selesai.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang akan meneliti secara adil dan telus isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri penyumbang.

Jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara serta wakil kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu akan diberi masa enam bulan untuk menyiapkan kajian dan membuat syor kepada kerajaan persekutuan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan