Penjawat Awam N.Sembilan Terima Imbuhan Setengah Bulan Gaji & RM500

Diterbitkan: Rabu, 8 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Seramai 6,797 orang penjawat awam, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun di negeri ini menerima bayaran imbuhan atau bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minima RM500, bermula pada Rabu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bayaran yang dibuat sebagai menghargai jasa penjawat awam itu juga adalah yang paling bersejarah kerana ia disampaikan dalam bentuk cek dan dibuat serentak di 12 lokasi.

"Seramai 4,173 penjawat awam negeri, 2,289 kakitangan pihak berkuasa tempatan manakala 335 penerima dari agensi badan berkanun negeri menerima imbuhan yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6.9 juta," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian imbuhan setengah bulan gaji dan bayaran minima RM500 kepada 1,000 penjawat awam negeri di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, di sini, Rabu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mat Ali Hassan, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan peringkat negeri serta persekutuan.

Mohamad berkata pemberian imbuhan atau bonus ini adalah untuk meraikan penjawat awam negeri dalam menyokong transformasi perubahan ke arah menawarkan perkhidmatan terbaik.

"Majlis yang julung kali diadakan ini merupakan satu usaha bagi meraikan penjawat awam negeri dalam menyokong transformasi perubahan ke arah menawar perkhidmatan terbaik dan berharap dapat membantu penjawat awam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memberikan imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minima RM500 kepada penjawat awam. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan