PR Dakwa Filem Tanda Putra Akan Semarakkan Api Perkauman

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa filem Tanda Putra yang bakal ditayangkan akan menyemarakkan lagi sentimen perkauman di negara ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mendakwa filem yang sepatutnya menyatupadukan rakyat dilihat akan memberi kesan yang tidak baik serta akan menyemarakkan sentimen perkauman dikalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Justeru, beliau meminta kerajaan menayangkan filem tersebut kepada pimpinan PR terlebih dahulu untuk dikaji dan melihat kesesuaiannya sebelum ditayangkan kepada umum.

"Filem yang bakal ditayangkan itu akan membakar lagi sentimen perkauman dan ia sekali gus tak akan mencapai objektif sebenarnya.

"Kita (PR) minta kerajaan tayangkan filem itu kepada PR dahulu untuk dikaji dan dinilai supaya tak akan timbul masalah lain," katanya selepas menghadiri mesyuarat Setiausaha Pakatan Rakyat di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat pada Selasa.

Julai lalu, Ketua Pengarah Finas, Mohd Naguib Razak dilaporkan berkata penundaan tayangan filem Tanda Putera yang sepatutnya dijadualkan pada 13 September 2012 tiada kena mengena dengan bahang pilihan raya umum ke-13.

Naguib dipetik sebagai berkata penundaan tayangan filem sejarah arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu adalah bertujuan untuk melalui ruang promosi yang lebih.

Filem Tanda Putera yang dibarisi pelakon seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim, Kavita Sidhu dan Riezman Khuzaimi itu diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Finas dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mustafa yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata negeri Kedah dan Kelantan akan menggunakan tema berbeza untuk sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Menurutnya, Kelantan akan menggunakan tema "Menerajui Perubahan" manakala tema untuk sambutan di Kedah ialah "Terus Berbakti".

Ditanya mengapa wujud perbezaan tema sambutan Hari Kemerdekaan, Mustafa berkata Exco Kedah dan Kelantan memutuskan tema masing-masing sebelum Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk menggunakan tema "Senegara, Sebangsa, Sejiwa".

Bagaimanapun, Mustafa berkata semua empat negeri akan menggunakan logo sama yang akan diumumkan Khamis ini.

Bukan itu sahaja, beliau berkata seorang komposer terkenal akan menggubah lagu sempena sambutan Hari Kemerdekaan untuk PR dan ia akan diumumkan Khamis ini selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR.

Mustafa berkata PR telah menerima cadangan lebih 20 logo daripada anggota masyarakat sejak minggu lalu.

PR menentang keras tema "Janji Ditepati" yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan kerana ia didakwa digunakan dalan kempen Barisan Nasional sejak ia dilancarkan beberapa bulan lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan