Penempatan Polis Di Pusat Beli-Belah, Pasar Raya Wujud Suasana Selamat & Ceria

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan anggotanya di dua pusat beli-belah dan sebuah pasar raya besar di Subang Jaya nyata membantu mewujudkan suasana lebih selamat kepada para pengunjung.

Ketua Polis Balai Subang Jaya Insp Sulaiman Baputty berkata sejak dimulakan pada 24 Julai lepas, program sulung itu yang menempatkan 10 anggota polis di setiap premis berkenaan telah mendapat reaksi positif masyarakat yang memuji program turun padang Kementerian Dalam Negeri itu.

Beliau berkata langkah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu turut mencetuskan suasana ceria kepada pengunjung dan persekitaran Subang Parade, Empire Shopping Gallery dan Carrefour Subang.

"Pihak kami telah menerima banyak panggilan orang ramai yang mengucapkan tahniah di atas usaha kerajaan itu, selain meluahkan rasa gembira dengan tahap keselamatan di premis berkenaan," katanya.

Sulaiman berkata selain membantu pengawal keselamatan sedia ada di premis itu, anggota polis berkenaan akan melakukan rondaan terutama di kawasan parkir dan di dalam kompleks dengan penugasan di luar pusat itu turut dibantu polis peronda.

Beliau berkata bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap inisiatif itu terus meningkat, pegawai Bukit Aman dan Balai Polis Subang Jaya juga sentiasa turun padang membuat rondaan bersama-sama anggota yang ditugaskan di situ.

"Apa yang membangggakan, sejak bermulanya inisiatif ini, kami tidak menerima aduan jenayah di tiga ppremis itu yang menunjukkan keberkesanan program dan tahap keselamatan yang semakin baik di situ," katanya sambil meminta orang awam terus memberi makluman balas dan cadangan bagi penambahbaikan inisiatif itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan