Pekerja Hidap Buah Pinggang Kronik Meningkat

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Pesakit buah pinggang kronik membabitkan golongan pekerja menunjukkan peningkatan antara 18 dan 20 peratus setiap tahun, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata peningkatan itu berdasarkan pembiayaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang membelanjakan RM92.5 juta bagi kemudahan bantuan rawatan dialisis kepada orang berinsurans Perkeso pada tahun lepas berbanding RM77.2 juta pada 2010.

"Jumlah ini meningkat 18.8 peratus. Sehingga Jun tahun ini sahaja, Perkeso mengeluarkan RM43.5 juta untuk membiayai kos rawatan dialisis," katanya pada sidang media selepas menyampaikan cek bantuan rawatan dialisis untuk orang berinsurans Perkeso dan mengadakan lawatan kerja ke Pusat Hemodialisis St John Ambulans Klang di sini Selasa.

Turut hadir, pemerintah negeri St John Ambulans Malaysia (SJAM)-Selangor Datuk Yeo Kim Thong merangkap Ketua Pegawai Operasi SJAM-Kawasan Pantai Selangor (KPS) dan Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Justeru, Subramaniam berkata semua pihak terlibat perlu mencari kaedah terbaik bagi mengurangkan jumlah pekerja menghidap penyakit buah pinggang dan mengelakkan mereka daripada sampai ke tahap kronik.

Katanya penyakit kencing manis jika dikawal lebih rapi sejak awal boleh mengelakkannya daripada menjangkiti buah pinggang walaupun pesakit sudah menghidap penyakit itu selama 20 tahun.

"Kalau tidak dikawal, dalam tempoh antara tiga ke enam tahun, lama-lama pesakit kencing manis boleh mengalami kerosakan buah pinggang. Sebab itu kesedaran dan pendidikan sangat mustahak untuk pastikan pesakit tidak sampai ke tahap 'End Stage Renal Failure' (ESRF)," katanya.

Mengenai bantuan pemulihan dialisis oleh Perkeso, Subramaniam berkata pertubuhan itu menyediakan bantuan pemulihan dialisis kepada orang berinsurans yang mengalami penyakit buah pinggang kronik pada peringkat ESRF.

Sehingga Jun lepas, beliau berkata Perkeso meluluskan 6,788 permohonan daripada penerima pencen ilat dan bukan ilat sejak kemudahan itu diperkenalkan pada 1999 bagi memudahkan mereka menjalani rawatan dialisis.

Sejumlah 366 pusat rawatan dialisis dilantik sebagai panel dialisis Perkeso di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata Perkeso turut menyediakan bantuan untuk kaedah rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialisys (CAPD) atau kaedah cucian darah melalui lapisan perut selain menyediakan bantuan subsidi suntikan erythropoietin (EPO) untuk membantu orang berinsurans membiayai kos suntikan itu.

Katanya untuk rawatan CAPD, pesakit diberi tanggungan kira-kira RM2,500 setiap bulan manakala suntikan EPO subsidi, RM30 setiap suntikan untuk dua kali seminggu diberikan kepada orang berinsurans yang memerlukan suntikan ini.

"Kemudahan terkini yang disediakan mulai Januari tahun lepas adalah kemudahan subsisi pembelian ubat Immunosuppressant (Anti Rejection). Subsidi yang disediakan adalah bantuan kewangan untuk pembelian ubat dengan jumlah maksimum RM1,560 sebulan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan