MAINPP Akan Siasat Cubaan Pelancong Asing Memurtadkan Orang Islam

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan menyiasat dakwaan berhubung dua pelancong asing yang dikatakan cuba memurtadkan orang Islam di Pulau Pinang, kata Yang Dipertuanya Datuk Mohd Salleh Man.

Beliau juga berharap bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam dapat bersama-sama dengan MAINPP untuk menangani perkara itu.

"Dalam hal ini Jabatan Agama Islam juga harus berperanan, bukan sekadar berharap pada MAINPP sahaja.

"MAINPP juga akan berjumpa dengan pengadu dan akan menyiasat perkara ini secepat mungkin," katanya kepada pemberita di majlis penyampaian bantuan Aidilfitri anjuran Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Dewan Perkeso di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menggesa pihak MAINPP bertindak sewajarnya dengan segera ke atas pelancong asing yang dikatakan cuba memurtadkan umat Islam di negeri ini.

Khamis lepas, sebuah akhbar melaporkan cubaan dua lelaki Eropah yang dikatakan menyampaikan ajaran agama mereka kepada orang ramai di sekitar Pulau Pinang ketika umat Islam bersiap sedia untuk berbuka puasa.

Sementara itu, Mohd Salleh berkata aduan berhubung perkara yang bertentangan dengan Islam perlulah mengikut saluran yang betul dengan terlebih dahulu dilapor di mana-mana pejabat agama Islam yang berhampiran.

"Diharapkan pihak yang cuba melakukan perkara ini dapat menghentikannya segera kerana ia bertentangan dengan peruntukan undang-undang," katanya.

Terdahulu, Mohd Salleh menyerahkan replika cek bernilai RM3.443 juta kepada Pengerusi ZPP Ellias Zakaria. Daripada jumlah itu, RM2.7juta akan diagihkan kepada 9,125 fakir miskin di Pulau Pinang.

Katanya, pada tahun ini ZPP MAINPP menjangkakan mampu mengutip RM4.1 juta berbanding RM4 juta tahun lepas daripada lebih 500,000 penduduk Islam di negeri ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan