Dompok Yakin Tiada Lagi Anggota Keluar UPKO

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok yakin tiada lagi wakil rakyatnya akan bertindak keluar parti dan menyokong pembangkang.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak yang berkenaan agar berhenti daripada menyebarkan desas-desus berkaitan perkara tersebut, susulan tindakan Timbalan Presiden parti Datuk Wilfred Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran meninggalkan UPKO.

"UPKO menentang tindakan itu (ahli politik lompat parti). Khabar angin ini telah lama tersebar dalam parti. PM (Perdana Menteri) tahu mengenai perkara ini kerana saya telah maklumkan kepada beliau.

"Sekarang perkara itu telah berlaku dan saya yakin tidak ada lagi MP (anggota parlimen) dan Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) yang akan keluar parti," katanya kepada pemberita, Isnin.

Terdahulu, Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melancarkan sambutan hari kebangsaan kementeriannya, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Imigresen, di sini.

Semalam sebuah akhbar tabloid melaporkan 13 lagi ahli politik Sabah termasuk Adun, MP dan senator akan keluar parti masing-masing dan menyokong pembangkang.

Bulan lepas Anggota Parlimen Beaufort yang juga Ketua Umno bahagian itu Datuk Seri Lajim Ukim dan Bumburing secara terbuka menyatakan sokongan kepada pembangkang menerusi penubuhan parti baharu Pakatan Perubahan Sabah.

Khamis lepas Dompok menepis khabar angin UPKO akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dengan menyatakan: "Kami fikir BN yang mampu berikan apa yang kami mahu."

Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang asing di Sabah, Dompok berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan perincian termasuk terma rujukan serta senarai anggota panel pada Sabtu ini.

"Kami sudah lama meminta penubuhan RCI ini. Kami hargai keikhlasan Najib menubuhkan RCI bagi menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sejak dahulu lagi.

"Saya telah berkhidmat di bawah tiga perdana menteri, tetapi hanya Najib bersetuju untuk menubuhkan RCI. Saya hormati beliau atas tindakannya itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan