Skim Latihan 1Malaysia Berjaya Buka Peluang Pekerjaan Kepada Belia

Diterbitkan: Jumaat, 3 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skim Latihan 1Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran belia di negara ini telah berjaya membuahkan hasil serta menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata belia Malaysia kini mudah mendapat pekerjaan berbanding belia di Eropah khususnya negara yang menghadapi krisis ekonomi seperti Itali, Sepanyol dan Greece di mana kadar pengangguran adalah tinggi.

Skim latihan itu, yang dilancarkan pada 1 Jun tahun lalu, berjaya melatih sebahagian daripada 20,000 lepasan universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak berjaya mendapat pekerjaan sebaik sahaja habis pengajian, katanya.

"Tiap-tiap tahun kita ada 90,000 pelajar yang keluar dari universiti dan IPT dan kita lihat 70,000 pelajar dari 90,000 pelajar itu tiada masalah untuk mencari pekerjaan tetapi yang 20,000 itu, sukar dapat kerja," katanya kepada Bernama selepas menganjurkan majlis berbuka puasa di sini Khamis.

Beliau berkata, daripada 20,000 pelajar itu, sebahagian daripada mereka diambil untuk menyertai skim berkenaan di mana antaranya adalah kelas kemahiran bahasa Inggeris serta kemahiran berkomunikasi selama beberapa bulan sebelum diserapkan ke bidang yang mereka gemari.

"Bagi fasa pertama, kita telah ambil 8,612 orang dan fasa kedua pula adalah 4,000 orang. Kita bagi latihan dalam tempoh setahun, selepas itu semua peserta akan dapat kerja," katanya.

Dengan skim berkenaan, belia di Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding belia di Eropah yang pada masa sekarang terpaksa menghadapi kadar pengangguran yang tinggi.

"Di sana, 50 peratus daripada pemuda dalam linkungan umur 20 hingga 30 tahun yang keluar mencari pekerjaan, gagal mendapatkannya. Sementara itu, kadar pengangguran di negara ini hanya 2.9 peratus, satu angka yang dianggap tidak wujud pengangguran," katanya lagi.

Turut hadir pada majlis berbuka puasa dan lawatan beliau ke agensi berita nasional itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Nor Mohamed meluangkan masa sejam melawat bilik berita Bernama, studio dan bilik berita Bernama TV serta bilik berita Radio 24 sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib.

Selain mengurangkan pengangguran, beliau berkata kerajaan turut memastikan setiap lapisan masyarakat di negara ini mendapat pendidikan dan kualiti hidup yang secukupnya.

Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Beliau berkata pembinaan prasarana yang sewajarnya di bandar-bandar dan di luar bandar serta pemberian biasiswa untuk pelajar miskin adalah antara komitmen kerajaan terhadap rakyat.

"Hari ini, kerajaan memberi tumpuan bukan untuk memastikan kadar pertumbuhan tinggi, memang ini akan berlaku tetapi untuk pastikan setiap lapisan rakyat sama-sama angkat diri mereka untuk menjadi bangsa dan individu maju yang hidup dalam negara maju pada tahun keramat 2020," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 55 tahun, kerajaan telah membuat transformasi dari sebuah negara yang begitu daif dan tiada prasarana kepada sebuah negara yang dianggap moden dan perindustrian hari ini.

Beliau memberi contoh kadar kemiskinan pada 1957 adalah 75 peratus kini telah berubah kepada hanya 3.8 peratus.

Selain itu, rakyat juga bebas memilih kerjaya yang diingini berbanding rakyat negara miskin yang terhimpit dengan kemiskinan, katanya.

"Inilah satu kehebatan yang telah wujud dalam negara kita akibat kepimpinan yang bijaksana, kepimpinan yang sejak dahulu lagi mempunyai niat yang ikhlas, kita sudah mewujudkan satu suasana di mana rakyat sudah maju.

"Apabila negara sudah maju, rakyat sudah menjadi kelas pertengahan dan anak-anak kita, cucu-cucu kita ada pilihan," katanya.

Nor Mohamed berkata rakyat seharusnya perlu bersyukur lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini kerana berupaya berpuasa dan berbuka dalam keadaan aman dan sentosa berbanding negara-negara lain.

"Bulan puasa adalah bulan di mana kita patut bermuhasabah dan bersyukur kerana kalau kita lihat keadaan dunia hari ini, negara-negara yang satu masa dahulu yang menjadi penjajah kepada kita berada dalam keadaan yang begitu getir, begitu sengit dengan begitu banyak cabaran," katanya.

"Kita juga berbuka puasa dan menjemput juga yang bukan Islam berbuka puasa sekali dan dengan itu mengeratkan lagi silaturrahim. Ini satu keunikan Malaysia yang tak mungkin terdapat di negara lain. Ini satu kelebihan, satu kehebatan negara kita," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan