Tindakan Lajim Sokong Pembangkang Bersifat Peribadi - Nasir

Diterbitkan: Khamis, 2 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEMPORNA: Tindakan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin keluar Barisan Nasional (BN) dan menyokong pembangkang lebih bersifat peribadi, kata Timbalan Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Nasir yang juga Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah berkata kenyataan Lajim kononnya beliau bertindak demikian untuk membela rakyat Sabah boleh dipertikai kerana rakyat Sabah sejak dahulu hingga ke hari ini memang mendapat pembelaan kerajaan BN.

"Kita (boleh) lihat sendiri pembangunan negeri Sabah pada hari ini di bawah BN begitu jelas sekali dan rakyat pun terbela daripada segi kehidupan mereka dan daripada segi apapun yang mereka inginkan. Rakyat sentiasa didengar dan dibantu oleh kerajaan.

"Jadi, saya rasa dia (Lajim) menyedari keadaan yang sebenar tetapi oleh sebab-sebab tertentu dia telah membuat keputusannya sendiri untuk menyertai pihak pembangkang. Itu terpulang kepada dia," katanya kepada Bernama.

Nasir berkata demikian ketika mengulas tindakan Lajim meletakkan semua jawatannya dalam Umno dan menyokong pakatan pembangkang dengan menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah, selepas merasmikan majlis pengibaran Jalur Gemilang sempena kemerdekaan negara ke-55 peringkat daerah Semporna di sini malam tadi.

Terdahulu dalam ucapannya, Nasir mengingatkan rakyat supaya banyak bersyukur atas keamanan, keharmonian dan keselamatan yang dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu.

Katanya semua rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahankan dan memperkukuh suasana perpaduan sedia ada bagi memastikan negara dan rakyat terus menikmati keharmonian dan kejayaan pada masa akan datang.

"Jadi, kita janganlah terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang ingin negara kita berada dalam keadaan berpecah-belah, ingin melihat negara ini tidak bersatu ", katanya pada majlis yang turut dihadiri Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Tun Sakaran Dandai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan