Kedudukan Kewangan Di Negeri Tertentu Bertambah Baik Selepas Aset Air Dikendalikan PAAB - PM

Diterbitkan: Khamis, 2 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2012 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, Khamis. Turut sama (depan, dari kiri) Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Ir Donald Lim Siang Chai.
-fotoBERNAMA
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2012 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, Khamis. Turut sama (depan, dari kiri) Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Ir Donald Lim Siang Chai.
-fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kedudukan kewangan bagi negeri-negeri tertentu bertambah baik dengan penurunan pinjaman dan pembayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan yang lebih baik terutamanya kerana aset air mereka telah diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pinjaman kerajaan negeri daripada pentadbiran persekutuan telah menurun sebanyak 8.4 peratus dari RM19.1 bilion pada tahun 2010 kepada RM17.5 bilion tahun lepas.

Pembayaran balik pinjaman oleh negeri-negeri juga menyaksikan tanda peningkatan dengan RM790.6 juta yang dibayar tahun lepas berbanding untuk RM434.1 juta pada tahun 2010.

"Di sesetengah negeri, kewangan mereka adalah lebih baik selepas penyerahan aset air. Dengan langkah itu, mereka boleh menyediakan lebih banyak (kepada rakyat dan untuk membayar balik pinjaman)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada Khamis,

Sehingga kini, PAAB telah mengambil alih pinjaman untuk projek-projek bekalan air yang melibatkan lima negeri yang berjumlah RM3.49 bilion - Pulau Pinang (RM655.2 juta), Perlis (RM75.1 juta), Negri Sembilan (RM1.12 juta), Melaka (RM764.2 juta) dan Johor (RM873.7 juta).

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sebuah unit akan ditubuhkan pada bulan Oktober untuk memastikan sebab-sebab kenapa beberapa kerajaan negeri tidak membelanjakan peruntukan yang disediakan kepada mereka untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata tahun lepas, sebanyak RM2.59 bilion telah disalurkan tetapi kebanyakan negeri tidak menggunakan sepenuhnya peruntukan.

"Keadaan ini perlu diperbetulkan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. Semua kerajaan negeri akan terlibat dan garis panduan akan digubal.

"Selepas ini, mana-mana negeri yang gagal untuk mengurus peruntukan kerajaan persekutuan untuk penyelenggaraan jalan boleh melihat jumlah yang diberikan kepada mereka dikurangkan," katanya.

Najib juga berkata majlis itu juga telah diberi taklimat mengenai keadaan semasa ekonomi negara, unjuran bagi tahun depan dan prospek ekonomi global.

"Kami juga membincangkan mengenai pelan pengurangan defisit negara. Ia berada di landasan dan kami akan memberi angka penuh dalam Bajet 2013,"katanya.

Kerajaan telah menetapkan sasaran defisit fiskal sebanyak 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan