Kerja Pembinaan Pagar Di Bukit Kiara Dihentikan

Diterbitkan: Selasa, 31 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Arahan Henti Kerja telah dikeluarkan terhadap kerja pembinaan pagar perimeter di Bukit Kiara di sini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung mengumumkan perkara itu selepas sesi dialog dengan wakil badan bukan kerajaan dan orang awam di sini Selasa.

"Kami telah bersetuju buat masa ini untuk menghentikan semua kerja pembinaan berkaitan dengan pagar perimeter," katanya kepada pemberita selepas sesi itu.

Beliau merujuk kepada pembinaan pagar setinggi 3.5m di laluan sepanjang 4.7km di bawah Jabatan Landskap Negara sebagai sebahagian projek naik taraf bagi persempadanan sebuah taman di kawasan itu dan meningkatkan tahap keselamatan pelawat.

Laporan menyatakan projek itu telah mengakibatkan, antara lain, penebangan 3,000 pokok matang dan merosakkan beberapa denai.

Chor berkata usaha akan dilakukan untuk membaik pulih apa juga kerosakan yang berlaku di kawasan itu.

"Kami akan memantau (perkembangan di kawasan itu) kini dan kaji jika kami boleh menanam semula pokok di kawasan itu," katanya.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut hadir berkata: "Sebagai seorang daripada penduduk (di kawasan kejiranan itu) yang prihatin, saya fikir apabila kami berdepan masalah, kami perlu menyelesaikannya bersama-sama." - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan