Felcra Agih Dividen RM400 Juta Kepada 85,000 Peserta Minggu Depan

Diterbitkan: Selasa, 31 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Felcra memperuntukkan sejumlah RM400 juta sebagai bayaran dividen kepada 85,000 peneroka tahun ini.

Beliau berkata dividen itu akan dibayar mulai minggu depan mengikut keluasan tanah peneroka.

"Dividen tersebut adalah hasil daripada pengeluaran ladang Felcra sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini bermula daripada Januari hingga Jun lalu.

"Namun, dividen tersebut kurang sedikit daripada tahun lepas atas faktor harga komoditi sawit yang tidak menentu di pasaran global," katanya pada majlis Ihya Ramadan serta berbuka puasa bersama warga dan peneroka Felcra Pahang di Padang Seri Ketumbit Kerdau pada Isnin.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata pendapatan Felcra dijangka mencecah RM800 juta pada akhir tahun ini berikutan pelaksanaan kaedah pembajaan, penanaman sawit secara moden dan terancang yang dilakukan agensi itu bagi mempertingkat hasil ladang.

Beliau juga berkata Felcra merancang memperluas kegiatan bagi menambah pendapatan dan mungkin menyertai bidang pelaburan lain.

"Felcra tidak boleh bergantung kepada hasil ladang secara berterusan kerana ia tidak seperti Felda, yang mempunyai ladang yang luas, tetapi perlu melakukan satu anjakan untuk menambahkan pendapatannya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan