Tindakan Lajim, Bumburing Titik Perubahan Politik Negeri Sabah - Mohamed Azmin

Diterbitkan: Isnin, 30 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menganggap tindakan Datuk Seri Lajim Ukim dan Datuk Seri Wilfred Bumburing keluar daripada Barisan Nasional (BN) sebagai titik permulaan kepada perubahan politik di negeri Sabah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

"Slogan ‘Ini kali-lah’ menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan negeri serta menikmati hasil kekayaan negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamed Azmin berkata, dua pengumuman penting itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan BN.

"Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat dalam melaksanakan perubahan," katanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah yakin dengan dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan pelaksanaannya akan menepati serta memenuhi hasrat dan cita-cita murni rakyat Malaysia yang inginkan urus tadbir baik dan pengagihan ekonomi yang adil.

Katanya, PKR turut mengalu-alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam PRU-13.

"Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya Kerajaan Rakyat Negeri Sabah pada PRU-13," katanya.

Pada Isnin lalu, Bumburing yang juga bekas Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.

Tindakan Bumburing turut disusuli Lajim yang mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam anggota majlis tertinggi Umno dan sebagai ketua bahagian Beaufort parti itu Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kedudukan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan